KUALA LUMPUR – Warga Kajang, Selangor kini boleh menikmati keselesaan menggunakan perkhidmatan bas henti-henti dua tingkat Rapid KL.
Ketua Pegawai Operasi Rapid KL, Mohd. Azam Omar, bas henti-henti dua tingkat kini diperkenalkan di Laluan U40 (Terminal Kajang – Sinar Kota).
“Ini sebahagian daripada usaha meningkatkan kapasiti laluan bas tersebut di samping meningkatkan keselesaan penumpang.
“Laluan U40 yang menghubungkan Kajang dari Terminal Kajang di Jalan Reko ke pusat bandaraya di Sinar Kota/ Mydin antara laluan yang mempunyai jumlah penumpang paling tinggi pada waktu puncak antara 9,000 dan 9,800 penumpang pada hari biasa,†katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Mohd. Azam berkata, bas henti-henti dua tingkat Rapid KL di Kajang tersebut mampu untuk menampung 108 penumpang bagi setiap perjalanan.
Katanya, bas dua tingkat itu dilengkapi sistem petunjuk yang membolehkan penumpang dan kapten bas mengetahui jumlah kerusi kosong di tingkat atas.
Tambahnya, bas itu turut dilengkapi kamera litar tertutup yang membolehkan kapten bas memantau pergerakan penumpang dalam bas serta memyediakan kemudahan OKU yang lebih luas di tingkat bawah.
“Kami berharap warga Kajang akan menggunakan perkhidmatan pengangkutan awam ke Kuala Lumpur dengan bertambahnya kapasiti bas Laluan U40 yang bergerak dengan kekerapan 30 minit ini,†katanya. – MYNEWSHUB.CC

