PUTRAJAYA – Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak hari ini mengadakan dialog perniagaan berprofil tinggi bersama 30 ketua pegawai eksekutif (CEO) utama di sini bagi membincangkan kedudukan ekonomi semasa.
Najib yang juga Menteri Kewangan, menyifatkan pembabitan Dialog Pemimpin Perniagaan itu sebagai tepat pada masanya bagi mendapatkan pandangan dalam menangani cabaran ekonomi global semasa.
Dialog itu antara lain membincangkan langkah segera bagi memulihkan keyakinan dan menstabilkan ekonomi negara, katanya.
Pemimpin perniagaan yang menghadiri dialog itu terdiri daripada CEO Kumpulan AirAsia, Tan Sri Tony Fernandes; CEO Kumpulan Telekom Malaysia, Tan Sri Zamzamzairani Mohd Isa; Pengarah Urusan Public Bank, Tan Sri Tay Ah Lek dan Ketua Eksekutif Kumpulan CIMB Group Holdings Bhd, Tengku Datuk Zafrul Tengku Abdul Aziz dan Pengarah Urusan Malaysia Airports Holding Berhad, Datuk Badlisham Ghazali.
“Saya mahu mendapatkan pandangan anda mengenai kaedah bekerja bersama-sama sektor awam dan swasta bagi mengukuhkan ekonomi kita. Sudah semestinya, ia merupakan pertimbangan serius yang dibuat oleh kerajaan,” kata Najib sebelum mempengerusikan sesi dialog di Perdana Putra di sini.
Sesi dialog itu turut dihadiri Menteri Kewangan Kedua, Datuk Seri Ahmad Husni Hanadzlah; Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Abdul Wahid Omar; Pengerusi Suruhanjaya Sekuriti Malaysia, Datuk Ranjit Ajit Singh; CEO TalentCorp, Johan Mahmood Merican.
Najib berharap dialog itu akan memberikan momentum baharu untuk negara bergerak ke hadapan.
“Bukan sahaja apa yang boleh kita laksana serta-merta, malah untuk Bajet akan datang yang akan dibentangkan pada 23 Okt depan,” katanya.
Najib berkata pelaksanaan langkah ekonomi yang proaktif berdasarkan cadangan Jawatankuasa Khas Ekonomi Isnin lepas diterima baik dan positif oleh pasaran.
Sementara itu, satu kenyataan daripada TalentCorp menyebut Dialog Pemimpin Perniagaan itu turut membincangkan Tinjauan Kepelbagaian TalentCorp-PwC di tempat kerja 2015.
Tinjauan itu menunjukkan syarikat senaraian awam dalam Perkhidmatan Kewangan dan sektor Barangan Pengguna yang laris telah mencapai sasaran 30 peratus kerajaan untuk wanita mengisi kedudukan di peringkat pengurusan utama.
Ia berkata 31 peratus syarikat senaraian awam yang ditinjau, tidak mempunyai wanita sebagai anggota lembaga pengarah, 19 peratus tidak melantik wanita sebagai pengurusan utama, 24 peratus tidak mempunyai kepelbagaian etnik di peringkat pengurusan utama dan 31 peratus tidak mempunyai anggota lembaga pengarah berusia kurang daripada 50 tahun. – BERNAMA
Bajet 2016 Utamakan Kesejahteraan Rakyat