SUNGKAI – “Pemergian mak saya (meninggal dunia di Makkah) merupakan yang terbaik dan diimpikan oleh jutaan umat Islam. Sebagai anak, saya bersyukur urusan pengebumian mak sudah selesai,” kata anak jemaah haji Malaysia yang terkorban, Allahyarham Rusiah Suar, dalam kejadian kren tumbang di Masjidil Haram, Makkah, Jumaat lepas.
Haryanti Ahmad Badri, 31, berkata beliau sekeluarga mengucapkan terima kasih kepada pihak pengurusan Tabung Haji (TH) yang menguruskan pengebumian ibunya di Makkah.
“Walaupun terlalu sedih dengan pemergian mak, namun saya reda dan pasrah dengan ujian yang telah ditetapkan oleh Allah SWT,” katanya kepada pemberita selepas menerima kunjungan Ketua Pegawai Eksekutif TH, Tan Sri Ismee Ismail di rumahnya di Felda Gunung Besout 2 hari ini.
Dalam kunjungan itu, Ismee menyampaikan sumbangan TH sebagai tanda simpati kepada waris Rusiah serta menyerahkan wang perlindungan Takaful sebanyak RM20,000.
Jenazah Allahyarham Rusiah, 56, selamat dikebumi di Tanah Perkuburan Syara’ek, Makkah selepas solat subuh hari ini.
Haryanti, anak ketiga Allahyarham berkata beliau serta anggota keluarga lain akan mengadakan kenduri dan bacaan tahlil selama tiga hari berturut-turut.
“Saya doakan yang terbaik untuk mak dan (memohon agar beliau) ditempatkan dalam kalangan orang yang soleh dan dicintai oleh Allah SWT,” katanya yang tidak dapat menahan sebak.
Rusiah yang sebelum ini dilaporkan hilang susulan insiden berkenaan, disahkan sebagai mangsa pertama jemaah Malaysia yang terkorban.
Empat lagi yang disahkan terkorban ialah Rohana Ismail, 54, (Kuala Krai, Kelantan); Munah Jusoh, 73, (Cherang Ruku, Kelantan); Siti Nurolshlizan Zolkifli, 37, (Tanah Merah, Kelantan) serta mangsa terbaru disahkan hari ini ialah Zainun Taha, 69, dari Ampang Selangor. – BERNAMA
https://www.youtube.com/watch?v=OR2uVvc9EPI
