KUALA LUMPUR – Datuk Seri Najib Tun Razak berkata elemen perpaduan adalah penting dalam membentuk keharmonian sesebuah negara.
“Salam Jumaat semua. Tajuk khutbah hari ini mengenai perpaduan, sesuatu yang dekat di hati saya. Ia adalah tonggak penting keharmonian negara,” kata Perdana Menteri dalam laman twitter dan Facebooknya petang ini.
Dalam khutbah Jumaat dikeluarkan Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) hari ini bertajuk “Bersatu Mengikat Tambatan Perpaduan”, umat Islam dituntut untuk mengamalkan sikap toleransi dan saling menghormati antara satu sama lain.
Khutbah itu turut menekankan, pentingya elemen perpaduan dalam masyarakat berbilang kaum dan agama di Malaysia untuk keamanan sejagat.
“Mereka yang mengamalkan sikap toleransi berupaya menanggung sesuatu tekanan atau berupaya menerima kesusahan dan kritikan, boleh berkorban untuk orang lain, bersikap terbuka dan berlapang dada.
“Sesebuah negara tidak hanya ditegakkan atas asas perundangan dan perlembagaan semata-mata, akan tetapi ianya perlulah berteraskan kepada beberapa prinsip antaranya ialah toleransi ummah.
“Dalam masyarakat berbilang kaum dan agama, toleransi merujuk kepada sikap pegangan kehidupan dalam masyarakat yang memberi erti tidak fanatik, tidak mementingkan diri sendiri, mempunyai sikap keterbukaan, realistik, muafakat, tolak ansur, sabar dan menghormati hak orang lain,” kata khutbah tersebut.
Khutbah itu disiarkan dalam laman web rasmi Jakim untuk digunakan sebagai panduan khutbah Jumaat bagi masjid-masjid seluruh negara. – BERNAMA