DUNGUN – Sebanyak 344 ekor penyu direkodkan mati oleh Jabatan Perikanan dalam tempoh 2005 sehingga kini di Terengganu.
Ketua cawangan pengurusan sumber negeri Rusman Rusdy berkata penyu agar mengalami jumlah kematian yang paling tinggi iaitu sebanyak 330 ekor diikuti penyu karah (sembilan), penyu lipas (empat) dan penyu belimbing (satu).
“Untuk tahun ini sahaja iaitu dari Januari hingga September, sebanyak 55 ekor penyu telah direkodkan kematian iaitu melibatkan jenis penyu agar oleh Jabatan Perikanan negeri ini.
“Kadar kematian ini begitu membimbangkan dalam satu dekad ini ketika kita sedang berusaha untuk menyelamatkan penyu di negeri ini,” katanya kepada Bernama di sini Rabu.
Beliau berkata antara punca utama kematian penyu tersebut ialah terperangkap dalam peralatan nelayan seperti pukat hanyut dan pukat pari.
Dalam hal ini, beliau berkata pihaknya sedang meningkatkan usaha untuk membanteras penggunaan pukat tersebut bagi mengatasi masalah kematian penyu di negeri ini.
Dalam perkembangan berkaitan, beliau berkata kadar pendaratan penyu terutamanya di kawasan-kawasan utama di negeri ini pada tahun ini begitu menggalakkan.
Beliau berkata sebagai contoh di pendaratan penyu Ma’Daerah Kerteh, sebanyak 230 pendaratan direkodkan sehingga semalam manakala Mak Kepit di Pulau Redang (1,215) dan Geliga Kemaman (1,000).
Katanya sebanyak 243,000 biji telur terhasil daripada pendaratan penyu itu. – BERNAMA

