KUALA NERUS – Sebanyak 270 jemaah haji dari Terengganu berlepas ke Tanah Suci melalui penerbangan terus ke Jeddah dari Lapangan Terbang Sultan Mahmud di sini, Jumaat.
Perlepasan kumpulan kedua daripada keseluruhan 1,394 jemaah haji dengan lima penerbangan terus ke Jeddah dari lapangan terbang itu pada musim haji kali ini, turut diraikan Menteri Besar Datuk Seri Ahmad Razif Abdul Rahman, yang memberi kata-kata semangat agar kesemua mereka memperoleh haji mabrur.
Bagi jemaah haji pula, mereka bersyukur kerana dapat menjadi tetamu Allah pada musim haji kali ini, berkat kesabaran menunggu serta menyimpan wang hasil penat lelah bekerja selama ini.
Yusof Salleh, 65, berkata beliau berazam melakukan yang terbaik sepanjang 42 hari berada di Tanah Suci Makkah dan Madinah agar mendapat segala ganjaran yang dijanjikan Allah.
“Walaupun cedera pada otot paha dan terpaksa berkerusi roda, saya bersedia dari segi mental dan fizikal untuk melakukan ibadah ini.
“Saya hanya bekerja sebagai tukang cat di kampung, hampir 45 tahun mengumpul wang, akhirnya impian saya untuk pergi ke Tanah Suci tercapai hari ini,” katanya yang akan ditemani isteri, Ramlah Ibrahim, 58, dan anaknya Fatimah Yusof, 31. – BERNAMA

