KUALA LUMPUR – Parti Amanah Negara (PAN) mengakui terdapat penyokong pembangkang mengadakan ucapara memijak-mijak gambar Presiden PAS, Datuk Seri Abdul Hadi Awang sewaktu perhimpunan haram Bersih 4 berlangsung baru-baru ini.
Ketua Anak Muda Amanah PAN Perak, Mohd. Fakhrulrazi Mohd. Mokhtar berkata, pihaknya bagaimanapun tidak bersetuju dan mengutuk tindakan itu serta menganggap mereka yang berbuat demikian sebagai tidak bertamadun.
“Namun insiden-insiden yang tiada dalam tentatif serta matlamat himpunan itu tidak menggagalkan himpunan yang mempunyai objeltif yang lebih besar daripada itu,” dakwanya dalam satu kenyataan media hari ini.
Mohd. Fakhrulrazi dalam pada itu menegaskan pihaknya tidak kisah majoriti yang menyertai perhimpunan haram tersebut adalah kaum Cina.
“Bagi kami, peserta yang hadir ke himpunan itu adalah daripada kalangan rakyat Malaysia yang sayang kepada Malaysia,” dakwanya lagi.
Perhimpunan Bersih 4 yang dianjurkan oleh Parti Keadilan Rakyat (PKR), DAP dan beberapa badan bukan kerajaan (NGO) yang memperjuangkan hak kebebasan secara melampau termasuk lesbian dan gay pada 29 dan 30 Ogos lalu gagal meraih sokongan ramai rakyat Malaysia.
Peserta perhimpunan itu turut bertindak biadap dengan memijak-mijak gambar Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak dan Presiden PAS yang juga Timbalan Ketua Kesatuan Ulama (Islam) Sedunia dalam satu upacara semasa perhimpunan haram itu diadakan. – MYNEWSHUB.CC
https://www.youtube.com/watch?v=e1trJgGi7eo