NEW DELHI – Presiden India Pranab Mukherjee menyampaikan ucap selamat dan setinggi-tinggi tahniah kepada kerajaan serta rakyat Malaysia bersempena sambutan Hari Kebangsaan 2015.
“Bagi pihak kerajaan, rakyat India dan diri saya, saya merakamkan salam mesra dan setinggi-tinggi tahniah kepada saudara serta seluruh rakyat Malaysia bersempena Hari Kebangsaan ini,” katanya dalam perutusan kepada Yang di-Pertuan Agong Tuanku Abdul Halim Mu’adzam Shah.
Pranab juga berkata hubungan dua hala antara India dan Malaysia termaktub oleh persahabatan serta kerjasama sejak dahulu lagi dalam beberapa bidang membabitkan kepentingan bersama.
“Hubungan kita terus diperkukuhkan pada masa kita berkongsi hasrat untuk memperdalam serta memperluaskan hubungan dalam pelbagai bidang demi kepentingan bersama.
“Meskipun kita telah menjalin kerjasama baharu dalam hubungan ekonomi, namun masih banyak potensi yang belum diteroka dalam bidang seperti pertahanan dan keselamatan; kesihatan dan pendidikan; serta hubungan rakyat dan rakyat,” katanya menerusi kenyataan hari ini.
Beliau berkata India berharap untuk terus memperkukuhkan hubungan dengan Malaysia dan berusaha ke arah memajukan kerjasama berikutnya. – BERNAMA

