KUALA LUMPUR – Mufti Perlis, Datuk Dr. Mohd. Asri Zainul Abidin mengingatkan peserta perhimpunan Bersih 4 supaya tidak merosakkan harta awam.
Kata beliau, peserta perhimpunan itu juga diperingkatkan supaya tidak menyakiti pihak yang tidak terbabit dengan perhimpunan itu.
“Sesiapa yang (kononnya) ingin memperjuangkan hak rakyat tapi merosakkan harta awam dan menyakiti mereka yang tidak terbabit maka dia bukanlah pejuang rakyat tapi pejuang nafsunya sendiri.
“Pastikan harta awam terpelihara dan mereka yang tidak bersalah selamat,” tegasnya dalam satu kenyataan media hari ini.
Perhimpunan Bersih 4 yang diadakan bermula hari ini dilihat ramai pihak sebagai usaha terdesak pembangkang dan badan bukan kerajaan (NGO) yang memperjuangkan kebebasan hak asasi secara melampau untuk melumpuhkan kerajaan melalui demonstrasi jalanan secara besar-besaran bagi memenuhi agenda mereka.
Bersih 4 juga dipercayai memperjuangkan agenda ahli keluarga Datuk Seri Anwar Ibrahim untuk membebaskan pemimpin Parti Keadilan Rakyat (PKR) itu daripada penjara selepas didapati salah oleh mahkamah meliwat seorang lelaki lain.
Perhimpunan itu bagaimanapun tidak disertai PAS kerana engggan terlibat dalam usaha menghuru-harakan negara sebaliknya cuma disertai DAP, PKR, Parti Sosialis Malaysia (PSM) dan Gerakan Harapan Baru (GHB). – mynewshub.cc
