Angkatan Tentera Malaysia (ATM) akan masuk campur tangan dalam menangani perhimpunan BERSIH 4.0 yang bakal berlangsung hujung minggu ini jika kerajaan mengisytiharkan darurat.
Perkara itu dimaklumkan oleh panglimanya Jeneral Tan Sri Zulkifeli Mohd Zin, sebentar tadi.
Memetik laporan The Star Online, Zulkifeli berkara ATM setakat ini tidak terlibat mengawal perhimpunan itu berikutan keadaan masih belum memerlukan sebarang tindakan diambil.
“ATM hanya akan campur tangan dalam perhimpunan itu jika kerajaan isytihar darurat.
“Jika keadaan dikategorikan sebagai ancaman kepada ketenteraman awam, kami akan ambil peranan polis untuk membendung keadaan,” katanya dalam sidang media di Kementerian Pertahanan hari ini.
Tambahnya, anggota ATM juga tidak diarah untuk mengawasi himpunan yang bakal berlangsung 29 dan 30 Ogos ini namun mereka mengambil langkah berjaga-jaga dengan menjalani sesi latihan bagi menghadapi kemungkinan himpunan aman itu bertukar menjadi luar kawalan.
Himpunan BERSIH 4.0 ini dilaporkan akan berlangsung selama 34 jam bermula Sabtu ini melibatkan tiga kota besar iaitu Kuala Lumpur, Kota Kinabalu (Sabah), dan Kuching (Sarawak). – MYNEWSHUB.CC
Sumber: The Star Online.

