MAKKAH – Jemaah haji Malaysia tidak menghadapi sebarang masalah berkenaan penggunaan Ringgit Malaysia atau menukar mata wang itu kepada Saudi Riyal di Tanah Suci Makkah dan Madinah.
Jemaah haji Malaysia yang ditemui di Makkah berkata mereka dapat menggunakan ringgit untuk urusan membeli barang atau menukar mata wang Malaysia itu di kaunter-kaunter pengurup wang di Tanah Suci seperti biasa.
Jemaah haji Malaysia, Ramli Awang, 50, yang menetap di Abraj Al-Janadriah, di sini, terletak kira-kira 700 meter dari Masjidil Haram berkata dia menggunakan mata wang ringgit untuk membeli barang-barang keperluan harian di kedai-kedai berhampiran Masjidil Haram tanpa sebarang masalah.
“Peniaga di sini menerima mata wang Malaysia seperti biasa, tiada masalah,” katanya.
Seorang lagi jemaah Malaysia, Md Yusuf Baba, 60, berkata peniaga kedai di sekitar penginapan itu juga masih menerima duit Malaysia, cuma ia mengikut kadar tukaran semasa ringgit dengan mata wang Saudi Riyal.
Seorang lagi jemaah, Noraini Ahmad, 57, yang tiba dari Madinah semalam berkata dia tidak menghadapi sebarang masalah untuk menukar mata wang Malaysia di kaunter pengurup wang ketika di Madinah.
Tinjauan Bernama mendapati peniaga di sekitar Makkah tetap menerima mata wang Malaysia seperti amalan sebelum ini.
“Masih terima, cuma ikut harga semasa (tukaran Saudi Riyal),” kata Md Azizi Haque, peniaga pakaian berhampiran penempatan jemaah haji di Maktab 88, di sini.
Seorang peniaga barang keperluan harian, Munir Mahadiah berkata dia menerima bayaran dalam mat awang Malaysia seperti biasa dari jemaah haji Malaysia yang merupakan antara pelanggan utamanya semasa musim haji.
Sementara itu, semua maktab-maktab di Makkah juga menyediakan kaunter kewangan Tabung Haji (TH), bagi membolehkan jemaah haji mengeluarkan wang mereka untuk berbelanja atau melakukan urusan di Tanah Suci.
Jemaah haji yang mengeluarkan wang mereka diberikan mata wang Saudi Riyal mengikut kadar tukaran wang semasa antara Ringgit Malaysia dan Saudi Riyal.
Pengerusi Lembaga Tabung Haji (TH) Datuk Seri Abdul Azeez Abdul Rahim ketika bercakap kepada pemberita di Malaysia, berkata jemaah haji Malaysia diminta tidak terpedaya dengan khabar angin yang menyatakan ringgit tidak boleh ditukar di Tanah Suci.
Abdul Azeez berkata maklumat itu tidak benar dan sehubungan itu jemaah haji tidak perlu panik dengan laporan yang tersebar dalam laman sosial itu. – BERNAMA

