KUALA LUMPUR – Penubuhan Jawatankuasa Khas Ekonomi (JKE) adalah bagi meminimumkan impak sebarang isu ekonomi yang timbul ke arah ekonomi negara, kata Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak.
Dalam catatan Facebook hari ini, beliau berkata meskipun faktor-faktor ekonomi luar negara di luar pengaruh Malaysia, keadaan dalam negara ini perlu diurus dengan berkesan.
Jawatankuasa itu, yang akan dipengerusikan oleh Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Abdul Wahid Omar, akan melaporkan terus kepada beliau.
“Walaupun asas-asas ekonomi kita kukuh, saya bimbang perkembangan semasa dalam pasaran kewangan global dan kesan perkembangan ke atas ekonomi kita dan kehidupan semua rakyat Malaysia.
“JKE akan bertemu setiap minggu untuk mengurangkan sebanyak mungkin kesan sebarang isu ekonomi yang timbul supaya ekonomi kita akan terus makmur,” kata Najib, yang juga Menteri Kewangan. – BERNAMA