KOTA KINABALU – Timbalan Ketua Menteri Sabah Datuk Seri Yahya Hussin menyeru anggota lembaga koperasi supaya mengamalkan budaya kerja yang baik bagi memenuhi matlamat organisasi.
Beliau berkata kepakaran dan sinergi dalam kalangan anggota koperasi juga diperlukan untuk menghasilkan idea dan mengumpul pengalaman demi kebaikan organisasi.
“Topik untuk seminar tahun ini sesuai untuk menyebarkan maklumat dan pengetahuan kepada pergerakan koperasi, khususnya dalam memupuk budaya kerja cemerlang,” katanya.
Yahya yang juga Menteri Pertanian dan Industri Makanan Sabah berkata demikian dalam teks ucapannya pada pembukaan seminar dua hari anjuran Maktab Koperasi Malaysia (MKM) cawangan Sabah di sini malam tadi.
Beliau diwakili setiausaha tetap kementerian, Datuk Ujang Sulani.
Yahya berkata untuk sesebuah koperasi menjadi progresif, ia merupakan tanggungjawab pemimpin mengubah modal insan melalui perubahan dan membangunkan visi baharu.
“Kepimpinan daripada 1,233 koperasi di Sabah perlu mengubah modal insan dan menjadi kreatif dalam melaksanakan tugas bagi merangsang budaya kerja yang baik,” katanya.
Terdahulu, Ujang menyampaikan sijil pengurusan koperasi kepada 17 graduan MKM Sabah bagi tahun akademik 2014/2015.
Pengarah MKM Sabah, Najmah Nawawi berkata sejumlah 88 program berdasarkan pendekatan bersepadu telah dirancang tahun ini, dengan penyertaan seramai 2,394 orang pada bulan ini sahaja. – BERNAMA