SEKINCHAN – Seorang lelaki maut manakala isteri dan dua orang anak mereka cedera selepas kereta mereka terbabit dalam nahas di Kilometer 71 Jalan Klang-Teluk Intan dekat sini semalam.
Ketua Polis Daerah Sabak Bernam, Superintendan Nor Azmi Isa berkata, dalam kejadian kira-kira 2.10 petang itu, Muhamad Noor Yaakub, 33, maut di tempat kejadian manakala isterinya, Siti Rasidah Mat Yusof, 32, dan anak-anak mereka menerima rawatan sebagai pesakit luar di Hospital Tanjong Karang.
Beliau berkata, mangsa yang memandu Perodua Kembara dalam perjalanan dari Rawang menghala Parit 9, Sekinchan.
“Di lampu isyarat simpang empat, kenderaan mangsa telah dilanggar dari belakang oleh sebuah lori mengakibatkan kenderaan mangsa melanggar pula bahagian belakang sebuah lori lain,” katanya.
Pemandu lori yang melanggar kenderaan mangsa telah ditahan. – BERNAMA

