SERIAN – Kerajaan berhasrat untuk terus meningkatkan taraf hidup dan pendapatan penduduk luar bandar, khususnya pekebun kecil dalam Rancangan Malaysia Ke-11 (RMK-11).
Menteri Perusahaan Perladangan dan Komiditi Datuk Seri Douglas Uggah Embas berkata menjelang tahun 2020 kerajaan menyasarkan peningkatan pendapatan pekebun komoditi tidak kurang daripada RM4,000 sebulan.
“Sehubungan itu kerajaan akan meneruskan langkah-langkah untuk mengukuhkan pembangunan sektor pekebun kecil,” katanya dalam teks ucapannya yang dibaca oleh Timbalan Ketua Setiausaha (Komiditi) Kementerian Perusahaan Perladangan dan Komoditi Datuk M Nagarajan di Majlis Perasmian Seminar Transformasi Pekebun Kecil di Kampung Pichin di sini Sabtu.
Bagi tujuan itu katanya kerajaan melalui kementerian itu menyediakan pelbagai insentif dan bantuan kepada pekebun-pekebun kecil sawit, lada, koko dan komoditi lain.
Katanya pekebun yang mengusahakan skim Tanam Baharu Sawit Pekebun Kecil (TBSPK) yang diperkenalkan sejak tahun 2011 diberi input pertanian seperti penyediaan tapak, anak benih, baja dan racun rumpai yang bernilai RM9,000 sehektar.
Bagi pekebun yang menanam sendiri sawit tanpa apa-apa bantuan agensi kerajaan mereka akan menerima Skim Bantuan Baja Pekebun Kecil berjumlah RM3,000 sehektar.
Untuk membantu pekebun lada, beliau berkata tahun ini kerajaan menerusi Lembaga Lada Malaysia (MPB) telah menyalurkan peruntukan sebanyak RM4.68 juta di bawah Skim Program Pembangunan Industri Lada (PIL) dengan pembangunan kawasan tanaman lada seluas 860 hektar di seluruh negara.
Beliau berkata seluas 900 hektar kawasan baru tanaman koko disasarkan dengan jumlah peruntukan RM7.2 juta bagi negeri Sarawak.
“Daripada jumlah itu seluas 123 hektar bantuan tanaman baru koko akan disalurkan kepada 119 pekebun kecil koko di kawasan Serian dengan nilai RM984,000.
Dalam pada itu Uggah berkata sektor komoditi terus diberi keutamaan untuk dibangunkan memandangkan ia mempunyai potensi yang besar dan sumbangannya kepada pembangunan negara.
“Sektor ini juga telah banyak membantu meningkatkan pendapatan dan seterusnya taraf hidup rakyat, terutamanya kepada penduduk di kawasan luar bandar. – BERNAMA

