GEORGE TOWN – Kemungkinan wujudnya trem di jalan raya hampir menjadi realiti apabila sebuah konsortium menang bidaan untuk melaksanakan Pelan Induk Pengangkutan Pulau Pinang (PTMP) bernilai RM27 bilion.
Trem tersebut, adalah antara cadangan di bawah PTMP, yang turut melibatkan laluan transit aliran ringan (LRT) dan lebuh raya sepanjang 20 kilometer yang menghubungkan Bayan Lepas dan Tanjung Bungah dekat sini.
Ketua Menteri, Lim Guan Eng pada Jumaat mengumumkan bahawa SRS Consortium, ditubuhkan Gamuda Berhad dan dua syarikat hartanah tempatan telah dilantik sebagai rakan pelaksana projek (PDP) untuk PTMP.
Kedua-dua syarikat yang berpangkalan di Pulau Pinang itu ialah Loh Phoy Yen Holdings Sdn. Bhd. dan Ideal Property Development Sdn. Bhd.
Pelan induk itu bertujuan untuk mengurangkan kesesakan lalu lintas di Pulau Pinang khasnya di pusat bandar raya George Town.
Sebelum ini ada ura-ura sebagai berkata bahawa Gamuda telah dilantik sebagai PDP dan ia telah menubuhkan sebuah syarikat dengan dua syarikat tempatan untuk melaksanakan projek PTMP itu.
Guan Eng berkata komponen kritikal untuk pelan itu ialah LRT, trem dan jalan raya.
“LRT bukan hanya di pulau tetapi juga di tanah besar. Ia perlu ada di luar zon warisan. Dalam zon warisan, kita perlu kembali kepada perkhidmatan trem. Menghidupkan semula sistem ini akan menjadikan Pulau Pinang unik dan romantis,” katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang akhbar di pejabatnya di Komtar sebelum menyerahkan Surat Anugerah kepada Ketua Pegawai Eksekutif Konsortium SRS, Datuk Lin Yun Ling.
Majlis mesyuarat kerajaan negeri melantik SRS Consortium sebagai PDP berdasarkan pengalaman luas dalam transit aliran massa dan prasarana pengangkutan awam berkaitan serta pembangunan perbandaran skala besar.
Beliau berkata Gamuda memegang 60 peratus ekuiti dalam SRS dan dua syarikat tempatan itu masing-masing memegang baki 20 peratus ekuiti.
Beliau berkata konsortium itu akan bekerjasama rapat dengan kerajaan negeri dalam tempoh enam bulan akan datang bagi memastikan pelaksanaan terperinci pelan induk, reka bentuk kejuruteraan, mengumpul maklum balas orang ramai dan mendapatkan persetujuan semua negeri dan kerajaan Persekutuan bagi setiap komponen PTMP.
Selain LRT, trem dan lebuh raya pan-pulau, turut dilaporkan bahawa komponen-komponen lain ialah sistem feri jenis katamaran dan projek menaik taraf persimpangan lebuh raya bernilai RM100 juta.
“Mudah-mudahan, kita juga akan mendapat kereta kabel dan teksi air,” kata Guan Eng.
Beliau berkata sebaik sahaja kelulusan dan perancangan bagi pelbagai pakej kerja PTMP disempurnakan, konsortium itu akan memanggil tender terbuka dan menjemput penyertaan tender.
Mengenai komponen mana akan dimulakan PTMP terlebih dahulu, Guan Eng berkata ia bergantung kepada lesen atau permit mana yang telah diperoleh.
Beliau berkata projek PTMP pertama dijangka dilancarkan pada 2017 dan semua komponennya siap pada tahun 2030.
Guan Eng berkata konsortium itu akan menggunakan langkah-langkah piawaian keselamatan dan alam sekitar yang ketat untuk mengurangkan kesan PTMP terhadap alam sekitar dan sosial.
“Kerajaan negeri menekankan bahawa PDP perlu mendapatkan semua kelulusan berwajib daripada Kerajaan Pusat dalam tempoh enam bulan, atau menanggung segala kos pengurusan jika gagal kelak,” katanya.
Mengenai pembiayaan daripada kerajaan negeri, beliau berkata isu itu hanya akan ditangani sebaik sahaja konsortium memperoleh jaminan semua kelulusan lesen daripada Kerajaan Persekutuan.
“Kami akan bekerja berdasarkan kerangka kewangan pertukaran hak milik tanah. Tetapi ia masih terlalu awal untuk bercakap tentang perkara ini, ” tambahnya.
Sebuah akhbar tempatan memetik sumber menyatakan bahawa pasar Prangin lama, yang lebih dikenali sebagai Sia Boey, telah ditetapkan oleh kerajaan negeri sebagai tapak untuk stesen pusat LRT.
Dari Sia Boey, rancangan awal adalah untuk mempunyai laluan LRT sepanjang 17.5 kilometer dari George Town ke Bayan Lepas.
Akan terdapat dua laluan tambahan, dari Sia Boey ke Tanjung Tokong melalui Kelawei Road, dan ke Paya Terubong melalui Datuk Keramat dan Air Itam. – mStar Online

