MELAKA – Telekom Malaysia Bhd (TM) bakal memperluaskan liputan jalur lebar Unifi di negeri ini dengan penambahan tiga lokasi ibu sawat untuk perkhidmatan itu menjelang September ini.
Pengurus Besar TM Melaka Rozlan Mohamed berkata tiga lokasi baharu itu ialah di Batu Berendam, Ayer Keroh dan Melaka Tengah.
“Setakat ini jumlah pelanggan Unifi di Melaka sudah melebihi 4 ribu orang dan bagi perkhidmatan Streamyx melebihi 80 ribu orang.
“Dengan penambahan tiga lokasi baharu, diharapkan pengguna Unifi akan bertambah di negeri ini. Kita jangka penambahan sebanyak 12 ribu lagi pengguna yang akan menggunakan perkhidmatan Unifi ini,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas Majlis Sambutan Hari Raya dan pelancaran Tiara Smarts Kids yang disempurnakan oleh Ketua Menteri Melaka Datuk Seri Idris Haron dan isteri Datin Seri Fadilah Abdullah, di sini, hari ini.
Rozlan berkata di Melaka setakat ini, Unifi ditawarkan di kawasan Malim dan Tangga Batu bermula Julai 2011.
Beliau berkata pihaknya turut bercadang menambah lagi lokasi Unifi pada tahun depan di daerah Alor Gajah iaitu di Masjid Tanah dan Durian Tunggal serta kawasan Ayer Molek di daerah Melaka Tengah.
“TM sediakan perkhidmatan Unifi ini dengan kelajuan sehingga 20 megabait per saat bagi kemudahan akses yang berkesan oleh pengguna,” katanya.
Menurutnya, TM kekal komited dalam transformasinya menjadi pembekal komunikasi generasi baharu bagi membawa gaya hidup yang dipertingkatkan dan bersepadu kepada semua. – BERNAMA