PUTRAJAYA – Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak memuji sikap Presiden PAS, Datuk Seri Abdul Hadi Awang yang memberi peluang padanya berhubung dakwaan kontroversi melibatkan dirinya dengan kes 1MDB.
Menurut Najib, meskipun mereka berdua bersaing atas perbezaan politik, Hadi boleh membuat penilaian dengan memegang prinsip tiada sesiapa boleh dianggap bersalah selagi tidak dibuktikan sebagai bersalah.
“Sebagai orang yang berpegang pada agama, kita mesti pegang prinsip mencari kebenaran. Kita mesti pegang prinsip tiada sesiapa bersalah selagi tak terbukti kesalahannya.
“Sebab itu saya nak puji Presiden PAS.
“Dia kata tak bersalah selagi tak dibuktikan. Presiden PAS pun boleh buat penilaian,” katanya ketika berucap dalam sebuah majlis di Putrajaya pada Jumaat.
Sementara itu, Abdul Hadi turut dilaporkan membuat seruan agar prestasi jemaah menteri yang baharu diteliti terlebih dahulu sebelum undi tidak percaya terhadap Najib diusulkan di Parlimen.
Beliau mengulas ura-ura beberapa pemimpin PKR dan DAP yang bercadang mengemukakan usul itu pada sidang Dewan Rakyat akan datang kononnya untuk membentuk kerajaan peralihan.
Ironi, pada masa sama dua parti tersebut tidak pula membuat usul undi tidak percaya kepada Menteri Besar Selangor, Azmin Ali ekoran pembentukan pakatan pembangkang baharu tanpa penyertaan Pas.
Keadaan itu kini menyebabkan kerajaan negeri Selangor berada dalam keadaan gabungan longgar dengan hanya majoriti mudah yang boleh tumbang pada bila-bila masa sahaja. – MYNEWSHUB.CC
Sumber: MalaysiaKini