
SEMALAM, selepas penguguran nama Tan Sri Muhyiddin Yassin sebagai Timbalan Perdana Menteri dalam rombakan kabinet, antara wajah pemimpin yang muncul bagi memberikan sokongan adalah Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Muhkriz Mahathir.
Kehadiran Muhkriz di kediaman Timbalan Presiden UMNO itu diduga sesetengah pihak sebagai tanda anak sulung mantan PM, Tun Dr Mahathir memihak kepada Muhyiddin.
Muhyiddin Masih Sedia Kerjasama Dengan Najib Demi Parti

Ada juga suara nakal yang berkata, Mukhriz juga bakal menerima nasib sama seperti Muhyiddin kerana dilihat lebih memihak kepada Tun M yang acapkali mengkritik kepimpinan Perdana Menteri.
Namun, dalam sesi sidang media yang diadakan sebentar tadi, bekas timbalan Najib itu berkata, kehadiran Mukhriz hanya atas dasar sokongan dan tidak membawa indikasi lain.
“Saya tidur lambar sikit semalam kerana ramai yang datang ziarah saya termasuk Datuk Mukhriz, bukan beliau saja ramai yang datang rumah saya, saya fikir itu biasa, bukan ada apa-apa perancangan.
“Saya fikir itu lumrah biasa dan jangan ada orang buruk sangka. Kalau kamu kena macam saya pun, kamu akan ziarah.”
Selain itu, ketika diajukan soalan tentang isu yang dibangkitkan beliau sama dengan Tun M iaitu tentang 1MDB, Muhyiddin sekali lagi menjelaskan, ia tidak sepatutnya dikaitkan.
“Soal sama ada saya satu platform dengan Tun Mahathir bagi saya tidak berapa penting pasal saya fikir bukan sahaja Tun Mahathir, rakyat terbanyak pun mahu supaya kita berbuat perkara-perkara yang difikirkan perlu untuk negara.”
Kira-kira jam 8.35 malam semalam, Mukhriz yang juga Menteri Besar Kedah dilihat hadir di rumah Muhyiddin dan hanya pulang kira-kira jam 11 malam.
Ketika diajukan soalan, beliau cuma menjawab, “Saya tidak mahu beri komen, terima kasih.” – MYNEWSHUB.CC
Oleh: IZZAT MOHD ANUAR
Kenyataan Muhyiddin Tentang Kunjungan Mukhriz Di Kediamannya Semalam
https://www.youtube.com/watch?v=xUi9dBBCEF4

