KUALA LUMPUR – Belia perlu memberi lebih banyak tumpuan terhadap usaha membina kerjaya atau meneroka peluang perniagaan daripada menyibukkan diri dengan isu politik.
Ketua Pemuda MCA, Chong Sin Woon berkata, banyak platform dan kemudahan disediakan kerajaan untuk tujuan itu.
“Kini adalah masa masa untuk kita bertenang sedikit (tentang isu politik) dan lebih banyak memberi tumpuan untuk membina kerjaya masing-masing kerana terdapat begitu banyak peluang di negara ini,” katanya kepada pemberita selepas menghadiri ceramah ‘Let’s Kick Start Your Business 4.0’ anjuran Pemuda MCA di sini hari ini.
Sementara itu, menyentuh tentang penggantungan permit penerbitan The Edge Weekly dan The Edge Financial Daily, Chong berkata tindakan perlu diambil terhadap apa jua perbuatan yang berniat jahat.
“Kita mengamalkan kebebasan media…kerajaan perlu mengotakan kata-katanya berhubung kebebasan bersuara, tetapi pada waktu yang sama, jika terdapat niat jahat untuk menumbangkan kerajaan atau menuduh seseorang, tindakan perlu diambil,” katanya.
Kementerian Dalam Negeri pada Jumaat menjelaskan tiga sebab permit dua penerbitan itu digantung selama tiga bulan mulai 27 Julai.
Pertama, tajuk dan cara pelaporan serta pemberitaan kedua-dua penerbitan itu menimbulkan persoalan dan persepsi negatif kepada masyarakat terhadap syarikat 1Malaysia Development Berhad (1MDB) yang seterusnya berkait dengan kerajaan dan kepimpinan negara.
Kedua, laporan yang diterbitkan turut bersumberkan maklumat yang diragukan dan belum ditentukan kesahihannya, yang mungkin menggemparkan fikiran orang ramai dan boleh/mungkin memberi kemudaratan kepada ketenteraman awam dan kepentingan negara.
Ketiga, isu berkaitan 1MDB ini sedang disiasat oleh pasukan penyiasat yang telah ditubuhkan. Oleh itu, adalah tidak wajar pemberitaan yang boleh menimbulkan persepsi negatif yang dilakukan secara berterusan dan ia adalah tidak adil kepada syarikat 1MDB seterusnya kepada kerajaan dan kepada kepimpinan negara. – BERNAMA

