SEPANG – Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA), menahan dua lelaki dan merampas dadah jenis methamphetamine seberat kira-kira 10.5kg bernilai RM2 juta dalam dua insiden berasingan pada 5 dan 13 Julai lepas.
Pengarah Kastam KLIA, Datuk Chik Omar Chik Lim berkata dua lelaki warga India ditahan di KLIA2 sejurus tiba dari Chennai, India pada pukul 3 petang 13 Julai lepas.
Beliau berkata imbasan pada bagasi suspek yang mendakwa datang ke negara ini atas tujuan perniagaan pakaian, menampakkan imej meragukan sebelum pemeriksaan lanjut menemui satu ruang khas di dalamnya yang ditutupi dengan beberapa helai pakaian.
Katanya hasil pemeriksaan ke atas kedua-dua bagasi berkenaan menemui dadah jenis methamphetamine seberat 5.04kg dan 5.02kg dengan nilai keseluruhan berjumlah RM1.91 juta.
“Siasatan mendapati kedua-dua suspek telah memasuki negara ini melebihi 10 kali untuk tujuan perniagaan, namun gagal memberikan butiran lengkap jenis dan premis perniagaan yang dimaksudkan,” katanya pada sidang media di sini.
Chik Omar berkata pihaknya tidak menolak kemungkinan kedua-dua supek yang mengaku saling mengenali itu mempunyai hubungan dengan sindiket pengedaran dadah tertentu berdasarkan modus operandi mereka datang secara bersama.
Kedua-dua suspek kini ditahan reman dan disiasat mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952 dan jika sabit kesalahan boleh dihukum gantung sampai mati.
Chik Omar berkata kes pada 5 Julai lepas melibatkan cubaan menyeludup dadah menerusi syarikat penghantaran di KLIA.
Ia melibatkan penghantaran bungkusan dari Lagos, Nigeria yang gagal dihantar kepada penerimanya yang beralamat di Klang, Selangor selepas nombor telefon yang tertera pada bungkusan itu tidak dapat dihubungi untuk beberapa hari, menyebabkan bungkusan tersebut akhirnya dirampas.
Hasil pemeriksaan mendapati bungkusan itu mengandungi sebatang ekzos yang di dalamnya disorok serbuk putih yang diuji positif dadah jenis methamphetamine dengan berat kasar 0.470kg bernilai RM89,300. – BERNAMA

