KUALA LUMPUR – Parti Islam baharu yang akan ditubuhkan oleh bekas-bekas pemimpin PAS yang disingkirkan pada pemilihan parti itu pada Jun lalu iaitu Gerakan Harapan Baru (GHB) bakal disenangi oleh gerakan lesbian, gay, biseksual dan transgender (LGBT).
Pengarah Pusat Penyelidikan PAS, Dr. Mohd. Zuhdi Marzuki berkata, PAS percaya GHB akan turut disenangi pihak-pihak lain yang sentiasa bertentangan dengan ajaran Islam iaitu DAP, Sister in Islam, Lawyer for Liberty dan Gabungan NGO-NGO Hak Asasi Manusia (Comango).
“Jelas sekali, parti baru yang bakal ditubuhkan ini tidak berteraskan ajaran Islam yang sebenar tetapi ajaran yang selari dengan gagasan Muslim Progresif. Gagasan seperti ini jauh bertentangan dengan Islam diperjuangkan oleh PAS,” tegasya dalam satu kenyataan media semalam.
Mohd. Zuhdi berkata, GHB bakal memperjuangkan matlamat yang ingin dicapai oleh golongan Muslim Progresif seperti yang disebut dalam buku “Progressive Muslim: On Justice, Gender and Pluralism” susunan Omid Safi.
Malah, katanya, GHB sendiri berbangga menggelar diri mereka sebagai kumpulan progresif sekaligus memperakui hakikat itu sedangkan gagasan pemikiran Muslim Progresif sebenarnya selari dengan Jaringan Islam Liberal (JIL) di Indonesia yang selalu disebut sebagai Islam Liberal.
Selain itu, katanya, gagasan pemikiran Muslim Progresif ini adalah cerminan kepada gagasan American Islam atau Islam Ala Amerika yang pernah dipopularkan oleh bekas Timbalan Presiden PAS, Mohamad Sabu sekitar 1990.
“Mohamad Sabu sering menggunakan istilah Islam Ala Amerika ini dalam ceramah-ceramah beliau dahulu bagi menggambarkan Islamisasi yang dirintis oleh Datuk Seri Anwar Ibrahim semasa beliau dalam UMNO ketika itu sebagai bukan agenda Islam yang sebenar,” katanya.
- MYNEWSHUB.CC

