LEBARAN merupakan hari yang ditunggu-tunggu oleh ramai orang kerana pada hari tersebut, ikatan silaturrahim akan dapat dipereratkan dengan bertemu rakan taulan dan sanak saudara.
Bagi kaum wanita yang mementingkan penampilan, inilah harinya mereka mahu melaram habis-habisan termasuk mengenakan solekan selain pakaian serba baharu.
Bercakap bab solekan, antara cabaran utama adalah mengekalkannya sepanjang hari dalam keadaan cuaca negara ini yang panas. Dek kerana cuaca ini juga, tersilap solek maka wajah boleh menjadi tambah comot bila bedak asas atau maskara mencair terkena peluh!
Bagi yang berkulit jenis berminyak pula, pembayang mata (eyeshadow) dengan mudah meluntur dan maskara bergumpal hingga buat mata merah.
Bagi mengatasi masalah ini, jurusolek profesional dari Los Angeles, Amerika Syarikat Sandy Linter memberikan tip berikut:
Mulakan Dengan Concealer
Concealer mempunyai fungsi ‘ajaib’ mampu menutup noda dan cela pada wajah terutama warna gelap pada bahagian bawah mata dan kulit wajah yang tak sekata. Ratakan concealer secukupnya pada wajah
anda hingga warna nampak senada.
Jangan Tinggalkan Primer
Primer atau eyebase wajib diratakan dahulu pada kelopak kerana ia adalah solusi mengelak eyeshadow mencair dalam cuaca panas apabila kulit mula berminyak. Jadi jangan malas untuk aplikasikan primer menggunakan hujung jari yang bersih sebelum merias mata anda.
Gunakan Mekap Waterproof
Terdapat banyak mekap kalis air atau waterproof yang kini berada di pasaran. Sebenarnya tak susah pun menanggalkan solekan jenis ini kecuali anda kena rajin sedikit menggunakan penanggal solekan selain air biasa. Mekap waterproof penting bagi negara beriklim panas seperti kita dan bagi riasan mata, warna terang adalah pilihan terbaik kerana ia mampu membuat pemakainya terlihat segar. Untuk maskara, pilihlah dari jenis tekstur cepat menyerap untuk mengelak gumpalan maskara cair dihujung mata. Kemudian agar lebih menawan dan natural, kombinasikan dengan lipstik nude senada warna kulit.
Cubalah, kami yakin dengan mengikuti tip solekan di atas anda akan tampil lebih yakin menghadiri rumah terbuka di musim lebaran ini. – MYNEWSHUB.CC
Oleh: Rem Ramzi



