KUCHING – Ops Selamat 7/2015 peringkat negeri Sarawak yang dilancarkan Pesuruhjaya Polis Kontinjen Sarawak Datuk Seri Muhammad Sabtu Osman hari ini mensasarkan penurunan kes kemalangan sepanjang tempoh operasi 15 hari itu.
Muhammad berkata kenaikan kes kemalangan termasuk pertambahan bilangan pengguna jalan raya yang maut sepanjang tempoh operasi tahun 2013 dan 2014 amat membimbangkan.
Sehubungan itu, beliau menyeru pengguna jalan raya supaya mengutamakan keselamatan agar mereka selamat sampai ke destinasi, terutama bagi yang pulang untuk menyambut Aidilfitri.
Katanya, sepanjang tempoh operasi 15 hari pada tahun 2013 mencatatkan keseluruhan 702 kes dan naik kepada 717 dalam tempoh yang sama tahun lalu, iaitu kenaikan sebanyak 15 kes atau 2.13 peratus.
Daripada jumlah itu, katanya, 22 orang maut pada 2014 membabitkan 21 kemalangan berbanding 19 orang dalam 15 kes pada tahun 2013, iaitu pertambahan enam mangsa atau kenaikan 40 peratus.
Muhammad berkata kemalangan parah pada tahun 2013 ialah lima kes dan naik kepada enam kes pada tahun lepas, manakala kemalangan ringan, masing-masing mencatat lima kes pada tahun 2013 dan 2014.
Terdahulu dalam ucapannya, Muhammad menasihatkan mereka yang hendak balik ke kampung untuk menyambut Aidilfitri supaya merancang perjalanan mereka dan bergerak di siang hari.
Katanya, risiko kemalangan lebih tinggi jika memandu pada waktu malam, terutama selepas tengah malam.
Selain itu, katanya, keadaan jalan raya yang kurang baik di negeri ini tidak mengizinkan pemanduan melebihi kelajuan 100 km sejam. – BERNAMA