SEPANG – Malaysia mengadakan majlis memperingati ulang tahun pertama tragedi pesawat Malaysia Airlines (MAS) MH17, di sini hari ini sebagai tanda penghormatan kepada mangsa yang terkorban.
Waris dan anggota keluarga mangsa berhimpun di Kompleks Bunga Raya, Lapangan Terbang Antarabangsa KL (KLIA) di Sepang, Selangor bagi menghadiri majlis itu.
Kira-kira 1,000 orang hadir pada majlis yang penuh dengan ketertiban itu.
Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak dan isteri Datin Seri Rosmah Mansor, Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin dan isteri, Puan Sri Noorainee Abdul Rahman, menteri-menteri Kabinet, pegawai-pegawai kerajaan serta warga MAS turut hadir.
Tragedi pada 17 Julai 2014 itu mengorbankan kesemua 298 penumpang dan anak kapal pesawat berkenaan, termasuk 43 rakyat Malaysia.
Penerbangan MH17 itu sedang dalam perjalanan dari Amsterdam, Belanda ke Kuala Lumpur semasa ia ditembak jatuh di Ukraine.
Kompleks Bunga Raya KLIA juga merupakan venue penerimaan jenazah mangsa tragedi pesawat MH17 itu yang dijalankan secara berperingkat tahun lepas. – BERNAMA
https://www.youtube.com/watch?v=_f3YIjxEwHY

