YUKI Takahashi memulakan saingan Pusingan 3 Kejuaraan Motosikal Asia FIM (ARRC) dengan cemerlang setelah muncul pelumba terpantas SuperSports 600cc setelah mencatatkan masa terbaik 2’13.866s di Litar Suzuka, Jepun, hari ini.
Catatan yang dilakukan oleh pelumba Musashi Boon Siew Honda Racing itu hampir memadamkan catatan terbaik litar milik Katsuaki Fujiwara, 2:13.725s namun kibaran bendera kuning setelah Rafid Topan (Team Kagayama Suzuki Asia) terjatuh menjadi penghalang apabila pelumba-pelumba terpaksa memperlahankan aksi mereka pada penghujung sesi latihan kedua.
Terdahulu, Makoto Inagaki (YellowCorn Akeno Speed Racing) mengungguli sesi latihan pertama dengan masa 2’16.216s dengan Yuki sekadar mencatat masa kelima terpantas.
Yuki Ito (PETRONAS Hong Leong Yamaha) menebus aksi kurang bertenaga pada sesi latihan pertama dengan mencatat masa ketiga terpantas keseluruhan, 2’14.104s ketika sesi latihan bebas kedua pada penghujung sesi latihan sambil diikuti
Tomoyoshi Koyama (T.Pro Yuzy Honda NTS) keempat, 2’15.037s dan Yudhistira (Manual Tech KYT Kawasaki) kelima dengan masa 2’15.237s.
“Kami bermula dengan baik pada hari ini malah turut hampir memadam catatan rekod litar. Jika kami dapat meningkatkan lagi aksi pada hari esok, saya percaya mampu mengatasi catatan tersebut tidak kira pada sesi latihan bebas ketiga ataupun sewaktu sesi kelayakan,” jelas Yuki.
Mengulas lanjut, Yuki berkata, “Sasaran kami adalah untuk mendapatkan masa terbaik dari sesi latihan pertama lagi namun faktor cuaca banyak mempengaruhi aksi pada sebelah pagi, jadi kami memilih menggunakan sesi tersebut untuk mendapatkan pelarasan yang sepatutnya memandangkan cuaca dijangka hujan pada kedua-dua hari esok.
“Keadaan pada sesi latihan kedua bertambah baik dan cuaca juga tidak begitu panas di mana saya berjaya mendahului pelumba-pelumba lain sepanjang 40 minit sesi tersebut. Ketika cuba untuk mengatasi masa milik Fujiwara setelah jurutera pasukan mencuba sesuatu yang baru ke atas jentera, saya sekadar berpeluang melakukan satu pusingan penuh sahaja kerana terpaksa memperlahankan jentera setelah bendera kuning dikibarkan.”
Bercakap tentang pusingan kelayakan, Yuki menjelaskan “Saya beraksi di halaman sendiri jadi sudah tentu saya mahu mendapatkan keputusan yang terbaik bukan sahaja buat ahli keluarga dan penyokong di sini, sebaliknya juga buat pasukan dan rakan sepasukan saya, Mohd Zamri Baba. Namun sudah tentu saya perlu bekerja lebih keras untuk merealisasikan impian tersebut.”
Kelebihan beraksi di halaman sendiri turut memberi kelebihan buat Takehiro Yamamoto apabila muncul pelumba terpantas dalam kelas Asia Production 250cc dengan catatan masa 2’34.185s.
Rakan sepasukan Nakarin yang juga pendahulu keseluruhan, Apiwat wongthananon ketiga dengan masa 2’36.687s diikuti Masaharu Ono (Faito Factory Racing) dan Mohd Amirul Ariff Musa (T.Pro Yuzy Honda NTS) masing-masing dengan 2’36.950s dan 2’37.514s.
“Saya mahu menghadiahkan kemenangan kepada peminat-peminat di sini,” jelas Yamamoto.
Tambahnya,”Keputusan di Indonesia tidak begitu baik memandangkan itu kali pertama saya beraksi di Indonesia manakala pelumba lain mempunyai pengalaman beraksi di sana. Namun kali ini ia agak berbeza memandangkan saya sudah biasa dengan litar ini dan saya juga begitu inginkan kemenangan untuk merapatkan jurang dengan pendahulu, Apiwat di dalam senarai keseluruhan.”
Apiwat yang berpengalaman beraksi dalam saingan Asia Dream Cup dan SuperSports 600cc sebelum ini mendahului kedudukan dengan 70 mata, 16 mata di hadapan Yamamoto.
Sementara itu, saingan Underbone 130cc dikuasai oleh Ferlando Herdian (BKMS Indonesia Racing Team) setelah mencatat masa terpantas 2’47.777s yang dilakukan pada sesi latihan bebas kedua manakala Wahyu Aji Trilaksana (Faito Factory Racing) kedua dengan masa 2’48.298s.
Ahmad Fazrul Sham (HORSE OIL William Racing Team) muncul pelumba ketiga terpantas, 2’48.326s diikuti juara musim 2014, Gupita Kresna (Manual Tech KYT Kawasaki) dan Affendi Rosli (PETRONAS Hong Leong Yamaha).
Keputusan Latihan Bebas
SuperSports 600cc
1.Yuki Takahashi (Honda) 2’13.866s 2.Yuki Ito (Yamaha) 2’14.104s 3.Ratthapong Wilairot (Honda) 2’14.980s 4.Tomoyoshi Koyama (Honda) 2’15.037s 5.Ahmad Yudhistira (Kawasaki) 2’15.237s
Asia Production 250cc
1.Takehiro Yamamoto (Kawasaki) 2’34.185s 2.Nakarin Atiratphuvapat (Honda) 2’36.326s 3.Apiwat Wongthananon (Honda) 2’36.687s 4.Masaharu Ono (Honda) 2’36.950s 5.Amirul Ariff Musa (Honda) 2’37.514s
Underbone 130cc
1.Ferlando Herdian (Yamaha) 2’47.777s 2.Wahyu Aji Trilaksana (Yamaha) 2’48.298s 3.Ahmad Fazrul Sham (Yamaha) 2’48.326s 4.Gupita Kresna (Kawasaki) 2’48.517s 5.Affendi Rosli (Yamaha) 2’49.959s. – MYNEWSHUB.CC