PUTRAJAYA – Datuk Seri G.Palanivel menegaskan beliau masih anggota MIC, dan berkata, beliau tidak menerima sebarang surat daripada Pendaftar Pertubuhan (RoS) yang menyatakan beliau bukan lagi anggota parti itu.
Palanivel berkata beliau sedar tentang dakwaan bahawa beliau telahpun kehilangan keanggotaannya dalam parti itu.
“Ini bukanlah berita yang disahkan, dan saya pun tidak menerima apa-apa surat seperti itu. Saya tidak akan mengulas tentang berita ini dan saya akan tanganinya kemudian jika perlu,” katanya kepada pemberita selepas mempengerusikan mesyuarat tergempar Jawatankuasa Kerja Pusat (CWC) 2009 di sini hari ini.
Terdahulu, Datuk Seri Dr S. Subramaniam memetik sepucuk surat daripada RoS yang mendakwa Palanivel bukan lagi anggota MIC, manakala Subramaniam pula akan bertindak sebagai pemangku presiden MIC.
Palanivel berkata beliau akan menganggapkan perkara itu sebagai khabar angin dan tidak akan mendapatkan pengesahan daripada RoS.
Palanivel, yang juga Menteri Sumber Asli dan Alam Sekitar, berkata beliau akan bertemu Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak minggu depan untuk membincangkan mekanisme yang tepat bagi pemilihan parti itu.
Kata Palanivel, beliau telahpun memperjelaskan tentang perkara itu kepada Najib semasa pertemuannya dengan pengerusi Barisan Nasional itu Selasa lepas.
“Saya telah memberi surat cadangan kepada perdana menteri semasa mesyuarat mingguan Kabinet semalam. Beliau akan menelitinya. Jika beliau setuju, kami akan teruskan. Besar kemungkinan beliau akan bersetuju. Kami akan tunggu.
“Kami akan teruskan dengan pemilihan parti, bagaimanapun belum ada perkara yang sudah dimuktamadkan,” katanya kepada pemberita selepas mempengerusikan mesyuarat berkenaan.
Ditanya tentang cadangan Dr Subramaniam untuk dipilih semula, Palanivel, sambil tertawa kecil, berkata Dr Subramaniam tidak boleh mengadakan pemilihan pada masa beliau (Palanivel) masih memegang jawatan presiden.
“Dr Subramaniam… pemangku presiden? Bagaimana beliau boleh menjadi pemangku presiden sedangkan saya adalah presiden?,” katanya.
Mesyuarat CWC 2009 hari ini meluluskan tiga resolusi, antaranya lima individu termasuk Palanivel yang membawa urusan parti ke mahkamah, terus kekal sebagai anggota parti.- BERNAMA