ALAHAI berdebar-debar jadinya menonton video seorang juruterbang ketika sedang mengendalikan sebuah pesawat ringgan.
Bukan khuatir akan kerosakan pada pesawat atau cuaca semasa penerbangan tetapi gusar akan nasib ‘penumpang tidak disangka’ yang turut berada dalam pesawat ringan itu.
Mana tidaknya, penumpang yang tidak disangka itu rupa-rupanya adalah seekor kucing yang sesat.
Difahamkan, kehadiran kucing itu hanya disedari juruterbang berkenaan selepas beberapa minit pesawat itu berlepas setelah muncul dari sayap pesawat berkenaan.
Entah dari mana asal usulnya, kucing tersebut benar-benar mengejutkan juruterbang pesawat berkenaan, Romain Jantot dan seorang penumpang wanita.
Bagaimanapun, kucing yang kelihatan seakan ketakutan itu bijak berpaut pada satu tiang untuk menyelamatkan dirinya.
Keadaan itu sekali gus membuatkan juruterbang terpaksa segera mendarat demi menyelamatkan nyawa kucing berkenaan.
Kalau korang nak tahu, video ini turut menjadi viral di media sosial dan disaksikan lebih 11 juta penonton daripada seluruh dunia sejak dimuat naik di Youtube beberapa hari lalu. – MYNEWSHUB.CC


