KUALA LUMPUR – Masyarakat global akan menghampakan harapan jutaan kanak-kanak sekiranya ia tidak memberi tumpuan kepada golongan yang kurang bernasib baik itu dalam pelan hala tuju pembangunan 15 tahun yang baharu, tegas Tabung Kanak-Kanak Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (Unicef) hari ini.
Laporan terakhir Unicef mengenai Matlamat Pembangunan Milenium (MDG) berkaitan kanak-kanak yang bertajuk “Kemajuan Kanak-kanak: Melewati Purata” menyatakan, walaupun pencapaian amat penting, peluang yang tidak sama rata menyebabkan jutaan kanak-kanak hidup dalam kemiskinan, mati sebelum berumur lima tahun, atau tanpa bersekolah dan mengalami malnutrisi kronik.
“Matlamat Pembangunan Milenium membantu dunia menyedari kemajuan yang besar untuk kanak-kanak, tetapi ia juga menunjukkan berapa ramai kanak-kanak yang kita tinggalkan.
“Kehidupan dan masa depan kanak-kanak yang kurang bernasib baik adalah penting – bukan sahaja untuk kepentingan mereka sendiri tetapi juga untuk keluarga mereka dan masyarakat,” kata pengarah eksekutif Unicef Anthony Lake dalam satu kenyataan yang diedarkan kepada Bernama.
Laporan 2015 itu juga memaparkan berita buruk di mana kemajuan masih gagal menyelesaikan masalah hampir enam juta kanak-kanak yang meninggal dunia sebelum hari jadi kelima mereka, 289,000 wanita yang meninggal dunia setiap tahun ketika melahirkan anak dan 58 juta kanak-kanak yang tidak pergi ke sekolah rendah. – BERNAMA

