KUALA LUMPUR – Mesyuarat Jawatankuasa Kerja Pusat (CWC) MIC 2009 yang diadakan semalam adalah sah di bawah perlembagaan parti dan tiada sebab untuk menggantung keahlian sesiapa yang menghadirinya, menurut seorang pemimpin veteran parti itu.
Bekas setiausaha agung MIC, Tan Sri G. Vadiveloo juga berkata Datuk Seri G. Palanivel tidak lagi menjadi presiden ataupun anggota parti kerana melanggar perlembagaan parti.
Beliau menarik perhatian kepada Perkara 56.2 perlembagaan parti yang menyatakan setiausaha agung hendaklah memanggil mesyuarat CWC apabila diarah berbuat demikian oleh presiden, atau menerima permintaan secara bertulis daripada sekurang-kurangnya satu pertiga daripada anggota CWC.
“Dalam kes ini, Setiausaha Agung MIC (A.Sakthivel) memanggil mesyuarat atas permintaan satu pertiga daripada anggota CWC. Jadi, mesyuarat diadakan mengikut saluran yang betul dan sah di bawah undang-undang,” kata beliau.
Vadiveloo, yang terlibat membuat pindaan pada perlembagaan MIC berkata, mesyuarat di ibu pejabat parti itu dipengerusikan oleh Timbalan Presiden Datuk Seri Dr S.Subramaniam bersama 17 lagi anggota CWC menghadirinya.
Jawatankuasa itu mengandungi 32 anggota.
Palanivel menggantung keahlian Dr Subramaniam, Naib Presiden Datuk M. Saravanan dan 13 orang lagi berkuat kuasa serta merta semalam kerana menghadiri mesyuarat itu yang menurut beliau adalah mesyuarat haram.
Vadiveloo berkata presiden tidak mempunyai kuasa untuk menggantung keahlian sesiapapun tanpa berunding dengan CWC.
Beliau merujuk kepada Perkara 60.4 perlembagaan yang menyebut presiden hendaklah memastikan bahawa pemegang jawatan menjalankan tugas yang diperuntukkan kepada mereka.
“Jika berlaku keingkaran dalam melaksanakan tugas, presiden hendaklah mengambil tindakan sewajarnya dengan berunding dengan CWC.”
Beliau bersetuju dengan Dr Subramaniam bahawa Palanivel bukan lagi presiden parti dan menarik perhatian kepada Perkara 91 yang menyatakan:
“Setiap ahli adalah terikat dengan keputusan CWC dalam hal-hal berkaitan hak, obligasi, tugas dan keistimewaan sebagai anggota parti.
“Jika beliau mengambil tindakan mahkamah berhubung haknya, obligasi, tugas dan keistimewaan atau bagi pihak mana-mana ahli lain atau dari segi merealisasi atau maksud peruntukan perlembagaan ini tanpa merujuk kepada jawatankuasa kerja pusat terlebih dahulu atau melanggar sebarang keputusan atau arahan jawatankuasa kerja pusat, beliau tidak lagi menjadi ahli parti dan tidak berhak menggunakan hak seorang ahli.”
Bagaimanapun, peguam R.T.Rajasekaran menegaskan bahawa Palanivel masih lagi presiden MIC.
Beliau berkata Perkara 91 hanya terpakai dalam perkara-perkara membabitkan keputusan CWC.
“Tetapi dalam kes ini, keputusan (bagi pemilihan diadakan semula) dibuat oleh RoS (Pendaftar Pertubuhan). Oleh itu, kebenaran daripada CWC tidak perlu,” kata beliau. – BERNAMA

