KUALA LUMPUR – Naib Ketua Pergerakan Pemuda UMNO Malaysia, Mohd Hairi Mad Shah menggesa agar sandiwara politik dihentikan, sambil menegaskan rakyat berhak mendapat sebuah kerajaan yang kukuh, stabil dan bermaruah.
Kata beliau, jika Pengerusi Pakatan Harapan (PH), Datuk Seri Anwar Ibrahim sudah tidak mampu menyatukan rakan-rakannya sendiri, lebih baik Parlimen dibubarkan dan mandat dikembalikan kepada rakyat daripada terus berpaut pada kuasa.
“Cukuplah sandiwara politik. Rakyat berhak mendapat sebuah kerajaan yang benar-benar kukuh, stabil dan bermaruah,” katanya dalam hantaran di media sosial.
Terdahulu, Mohd Hairi mengkritik keputusan DAP meletakkan calon di 14 kerusi pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Sarawak untuk menentang Gabungan Parti Sarawak (GPS), yang turut menyokong Kerajaan Persekutuan.
Beliau berkata, Pengerusi DAP Sarawak menuduh PKR mengorbankan demokrasi demi mengekalkan sokongan GPS di peringkat Persekutuan, sehingga Pengerusi PH, Datuk Seri Anwar Ibrahim tampil menjawab, “kerjasama, bukan tunduk”.
Katanya, keputusan DAP untuk bertanding dimuktamadkan selepas perbincangan dengan Setiausaha Agung DAP, Anthony Loke, dan dihormati kepimpinan pusat parti itu.
Mohd Hairi turut mempersoalkan sama ada Anwar terlalu bergantung pada 40 kerusi Parlimen DAP untuk menegur parti itu.
Menurutnya, DAP ialah komponen terbesar PH, diikuti PKR dengan 28 kerusi dan Amanah dengan lapan kerusi.
Beliau turut mengingatkan bahawa sokongan BN, GPS, GRS dan Warisan selepas PRU15 membolehkan Anwar menjadi Perdana Menteri. – MYNEWSHUB
Sumber Info/Foto: Akaun Media Sosial Hairi Md Shah – HMS


