JOHOR BAHRU – Pengerusi Jawatankuasa Perumahan dan Kerajaan Tempatan Johor, Datuk Mohd Jafni Md Shukor menyelar pihak yang cuba menggambarkan seolah-olah Menteri Besar, Datuk Onn Hafiz Ghazi tidak memahami konteks pengagihan Bantuan Kasih Johor (BKJ) dan Bantuan Awal Persekolahan (BAP)
Menurut beliau, perbezaan antara BAP dengan BKJ tidak pernah dinafikan, tetapi menyebut ‘konteks berbeza’ berulang kali untuk mempersoalkan Onn Hafiz belum menjawab persoalan mengapa manfaat pertemuan bersemuka BAP boleh dihuraikan, tetapi manfaat pertemuan penerima BKJ dengan kepimpinan negeri diketepikan.
“Hubungan ibu bapa dengan guru penting. Hubungan rakyat dengan wakil rakyat juga mempunyai nilai dan tanggungjawab yang tidak wajar dipandang rendah,” katanya dalam satu kenyataan di media sosial.
Terdahulu, Onn Hafiz ketika sesi penggulungan Belanjawan Johor 2027 menyindir pihak yang dulu mengutuk penyerahan BKJ secara bersemuka oleh kerajaan Johor, tetapi sekarang mereka menggunakan pendekatan sama untuk BAP.
Menjawab sindiran tersebut, Menteri Pendidikan, Datuk Seri Fadhlina Sidek meminta Onn Hafiz melihat semula fakta dan konteks sebelum menggunakan BAP bagi mempertahankan kaedah pengagihan BKJ
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim sebelum ini dilaporkan berkata, beliau berpesan kepada Menteri Pendidikan supaya BAP tidak diberi kepada ibu bapa yang tidak hadir sendiri ke sekolah.
“Yang dipertikaikan ketika itu bukan pemberian bantuan kepada rakyat tetapi kewajaran meneruskan pengagihan bantuan kerajaan secara bersemuka dengan melibatkan ahli politik.
“Kita mahu memanfaatkan kesempatan pengagihan BAP untuk memperkukuh hubungan antara ibu bapa dengan guru, di samping memastikan urusan penerimaan bantuan dipermudah,” kata Fadhlina.
Dalam pada itu, Mohd Jafni menegaskan pengkritik perlu membezakan antara kehadiran pemimpin, kegiatan berkempen dan penyalahgunaan bantuan serta mengemukakan bukti jika berlaku salah laku.
“Tegur kelemahan, kami jawab. Kemukakan bukti, kami hadapi. Tetapi jangan tuntut penjelasan berasaskan fakta sambil membuat penilaian berasaskan sangkaan,” katanya. – MYNEWSHUB


