KUALA LUMPUR – “Sungguh hipokrit apabila perpaduan bangsa dicela sebagai perkauman, sedangkan kepatuhan membuta tuli kepada parti politik dipuja sebagai kesetiaan. Kesahihan timbangan moral tidak boleh berubah ubah mengikut identiti politik pihak yang sedang diadili”
Demikian ulasan Profesor Madya Dr. Shahrul Mizan Ismail dari Fakulti Undang-Undang
Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) berhubung kenyataan Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan, Datuk Seri Mohamad Sabu menyamakan Ketuanan Melayu dengan ‘White Supremacy”
Menurut beliau, kenyataan Timbalan Pengerusi Pakatan Harapan (PH) itu bukan sekadar suatu kekhilafan retorik, malah merupakan suatu kecuaian intelektual yang merendahkan martabat wacana awam ke tahap polemik jalanan.
“Saya menghormati hak Datuk Seri Mohamad Sabu untuk menyanggah politik perkauman. Namun, apabila aspirasi penyatuan orang Melayu dirangkumkan sekali dalam bakul perbandingan supremasi kulit putih tanpa takrif serta sempadan yang jelas, ia mempamerkan ketandusan ketelitian konseptual yang memalukan bagi seorang pemimpin bertaraf menteri.
“Orang Melayu berhak memperkukuh kesetiakawanan serta memperjuangkan kepentingan sah bangsanya tanpa merendahkan martabat mana mana komuniti, sebagaimana perjuangan kesamarataan tidak menuntut pemansuhan solidariti warisan dan kebudayaan,” katanya.
Shahrul Mizan berkata, perkara yang wajib ditolak bukanlah penyatuan sesuatu bangsa, tetapi penyatuan yang menjadikan kezaliman sebagai matlamat mahupun natijahnya sambil memaklumkan dalam tradisi kesarjanaan, ketepatan konsep mesti mendahului kelantangan retorik, manakala ketertiban hujahan wajib mengatasi nafsu memenangi pertikaian siasah.
Terdahulu, beliau mengingatkan dalam kerangka Perlembagaan Persekutuan, Perkara 153 memelihara kedudukan istimewa orang Melayu dan anak negeri Sabah serta Sarawak di samping melindungi kepentingan sah komuniti lain, yang wajib dibaca secara harmoni bersama prinsip kesamarataan dalam Perkara 8. – MYNEWSHUB.
Sumber Info/Foto: Akaun Media Sosial Shahrul Mizan Ismail


