SHAH ALAM – Ahli Jawatankuasa Pemuda UMNO Bahagian Shah Alam, Azrul Abu Hassan berpandangan terdapat merit dalam permintaan supaya minit mesyuarat Lembaga Pengampunan selepas Pakatan Harapan (PH) mengambil alih kerajaan pada 2018 didedahkan.
Menurutnya, perkara itu wajar diteliti berdasarkan salinan warkah Perintah Pengampunan Penuh dan Pembebasan Serta-Merta Datuk Seri Anwar Ibrahim ketika itu.
“Saya fikir ada merit permintaan si mangsa liwat meminta supaya minit mesyuarat pengampunan selepas PH ambil alih kerajaan Malaysia didedahkan (jika ada),” katanya menerusi hantaran media sosial.
Beberapa hari lalu, Mohd Saiful Bukhari Azlan, pengadu dalam kes liwat membabitkan Datuk Seri Anwar Ibrahim berdasarkan sabitan Mahkamah Persekutuan 2015 membangkitkan permintaan supaya minit mesyuarat Lembaga Pengampunan Mei 2018 turut dinyahklasifikasikan kepada umum.
Permintaan itu dipaparkan menerusi satu tangkap layar hantaran media sosial atas nama Saiful, susulan kontroversi pendedahan dokumen berkaitan pengampunan bersyarat bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak.
“Mohon Nyahklasifikasi juga Minit Mesyuarat Lembaga Pengampunan Mei 2018.. Jika ada..,” katanya.
Dalam pada itu, Azrul mempersoalkan mengapa peguam Datuk Seri Najib Tun Abdul Razak tidak menggunakan perkara itu sebagai duluan dalam hujahan berkaitan Titah Addendum tahanan rumah.
Selain itu, beliau turut menpersoalkan tafsiran undang-undang yang menurutnya berbeza mengikut pihak yang memerintah.
Azrul menegaskan pendiriannya bahawa Perkara 42 Perlembagaan Persekutuan jelas mengenai kuasa prerogatif Yang di-Pertuan Agong dalam urusan pengampunan. – MYNEWSHUB
Sumber Info/Foto: Akaun Media Sosial Azrul Abu Hassan


