KUALA LUMPUR – Ketua Dewan Pemuda PAS Malaysia (DPPM), Afnan Hamimi Taib Azamudden membidas Pengerusi DAP Melaka, Khoo Poay Tiong susulan kontroversi kenyataannya berhubung arahan penutupan premis perniagaan ketika solat Jumaat di Terengganu.
Menerusi hantaran di media sosial, Afnan Hamimi mempersoalkan sikap pemimpin DAP itu yang didakwanya tidak menghormati keputusan majoriti rakyat serta perintah agama Islam.
“Lu ingat ini negeri lu punya ka?! Democratic Action Party yang tidak hormat demokrasi, tak hormat majoriti!” katanya.
Afnan Hamimi turut menyindir perjuangan demokrasi yang sering dilaungkan DAP, sedangkan menurutnya, parti berkenaan sendiri tidak menghormati prinsip majoriti.
“Kononnya perjuangkan demokrasi. Demokrasi tertegak atas majoriti. Tapi dia sendiri langgar prinsip demokrasi dan majoriti,” katanya.
Beliau menegaskan tindakan mempertikaikan sesuatu yang diterima majoriti rakyat, lebih-lebih lagi melibatkan perintah agama Islam, adalah keterlaluan.
“Mempertikai sesuatu yang diterima majoriti rakyat, apatah lagi mempersoalkan perintah Agama Islam, adalah sesuatu yang amat melampau! Inilah sikap sebenar DAP,” katanya.
Afnan Hamimi turut mengkritik segelintir masyarakat Melayu Islam yang menurutnya masih memberikan sokongan kepada parti berkenaan.
“Malang sekali ada Melayu Islam yang masih menjilat DAP. Memang malang dan bangang!” katanya.
Kontroversi tercetus selepas Poay Tiong membangkitkan persoalan mengenai arahan penutupan sementara premis perniagaan ketika solat Jumaat di Kuala Terengganu. – MYNEWSHUB
Sumber Info/Foto: Akaun Media Sosial Afnan Hamimi Taib Azamudden


