Oleh Arshad Khan
Pesawat khas Seri Paduka Baginda mendarat di Hangar Diraja Lapangan Terbang Antarabangsa Senai pagi tadi.
SENAI, 20 Nov – Raja Permaisuri Agong, Raja Zarith Sofiah selamat berangkat tiba di Johor hari ini selepas menghadiri Persidangan Perubahan Iklim Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (COP31) di Antalya, Turkiye.
Pesawat khas yang membawa Seri Paduka Baginda mendarat di Hangar Diraja Lapangan Terbang Antarabangsa Senai kira-kira jam 9 pagi.
Keberangkatan pulang Baginda turut diiringi Yang Amat Mulia Tunku Temenggong Johor, Tunku Idris Iskandar Al-Haj Ibni Sultan Ibrahim.
Sepanjang berada di Antalya, Raja Zarith Sofiah berkenan menyempurnakan Majlis Penutupan Pavilion Malaysia di COP31, selain menyaksikan pemeteraian Memorandum Persefahaman (MoU) antara Johor Sustainability Centre (JSC) dengan beberapa agensi dari Turkiye.
Dalam titah penutupan, Seri Paduka Baginda menzahirkan harapan agar jaringan kerjasama yang terjalin di pavilion itu diteruskan selepas COP31 dan diterjemahkan kepada penyelesaian praktikal demi manfaat masyarakat, ekonomi dan alam sekitar.
Hari terakhir Pavilion Malaysia turut diisi dengan acara Johor Day yang mengetengahkan agenda serta inisiatif kelestarian negeri Johor.
Kehadiran Raja Permaisuri Agong di persidangan iklim antarabangsa itu sekali gus mengangkat suara Malaysia dan Johor dalam usaha global menangani perubahan iklim. – MYNEWSHUB



