KUALA LUMPUR – Setiausaha Pemuda UMNO, Hafiz Ariffin menyifatkan pendedahan minit mesyuarat Lembaga Pengampunan memakan diri DAP kerana dokumen itu sebenarnya menunjukkan kebijaksanaan Yang di-Pertuan Agong, Sultan Ibrahim.
Menerusi rakaman video di media sosial, beliau berkata, tindakan Tony Pua mendedahkan minit berkenaan akhirnya memperlihatkan kelemahan pihak yang cuba mempertikaikan keputusan pengampunan bersyarat untuk Datuk Seri Najib Tun Abdul Razak.
“Bila kita baca minit tu penuh, cerita dia lain. Dia tunjuk kelemahan mereka (DAP) sendiri dan kebijaksanaan Yang di-Pertuan Agong pula.
“Perenggan 1.7, AG (Peguam Negara) bangkitkan tunggakan cukai. Perenggan 1.8 kalau kita tengok Tuanku tegaskan kes cukai tak ada kaitan dan banduan berhak bela diri di mahkamah.
“Perenggan 1.17, Hannah [Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan), Hannah Yeoh] cadang orang lain tandatangan perintah pengampunan iaitu Setiausaha Jemaah Menteri. Saya tengok ada cubaan untuk lari daripada tanggungjawablah.
“Tuanku tegaskan KSN bukan anggota Lembaga Pengampunan. Bekas KPN pun cakap kalau orang lain tandatangan, macam menteri tak datang mesyuarat. Akhirnya Tuanku putuskan, itulah tanggungjawab menteri dan mesti tandatangan sendiri,” katanya.
Hafiz seterusnya mengingatkan setiap menteri mengangkat sumpah taat setia dan simpan rahsia di hadapan Yang di-Pertuan Agong dan tertakluk di bawah perkara 43 (6) Perlembagaan Persekutuan.
“Rupa-rupanya minit mesyuarat yang tersebar itu tunjukkan siapa yang ada prinsip dan siapa yang cari jalan keluar nak selamatkan diri. Nak malukan Istana akhirnya pekong sendiri yang terbuka… malulah,” katanya lagi.
Beliau juga mencabar DAP dan Pakatan Harapan (PH) supaya mendapatkan penjelasan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim yang pernah mengakui membawa isu pengampunan Najib ke Lembaga Pengampunan.
Katanya, jika keputusan itu bertentangan dengan DAP, parti berkenaan wajar keluar PH atau pemimpinnya letsk jawatan seperti Anthony Loke. – MYNEWSHUB
Sumber Info/Rakaman Video: Akaun Media Sosial Hafiz Ariffin


