KUALA LUMPUR – PAS menegaskan akan terus istiqamah dengan haluan politiknya ketika ini, sekali gus memberi bayangan menolak pelawaan supaya meninggalkan kerjasama dengan UMNO dan menyokong Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Ketua Penerangan PAS Pusat, Ahmad Fadhli Shaari, menyatakan pendirian itu menerusi hantaran ringkas di media sosial sebagai respons terhadap gesaan Pengarah Komunikasi Amanah, Khalid Samad.
“PAS akan terus istiqamah dengan jalannya sekarang. Terima kasih atas undangan dan jemputan,” katanya.
Kenyataan Ahli Parlimen Pasir Mas itu hadir selepas Khalid menggesa PAS menghentikan kerjasama dengan UMNO dan sebaliknya menyokong kerajaan pimpinan Anwar.
Khalid dalam sidang media di Shah Alam semalam turut menyambut baik cadangan bekas pemimpin PAS Negeri Sembilan, Dr Rosli Yaakob, supaya parti Islam itu menyokong Anwar dan Pakatan Harapan (PH).
Menurut Khalid, PAS tidak semestinya perlu menyertai kerajaan, sebaliknya memadai memberikan sokongan kepada kepimpinan Anwar.
“Menyokong (Anwar) sudah memadai, tetapi jika PAS mahu menyertai (kerajaan), kita boleh mempertimbangkannya. Kami (Amanah) boleh berbincang mengenainya,” katanya.
Beliau turut mendakwa akar umbi PAS semakin tidak selesa dengan kerjasama bersama UMNO.
PAS ketika ini menjalin kerjasama politik melalui Perikatan Nasional (PN) bersama Barisan Nasional (BN), termasuk dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka pada 14 November lalu.
Kerjasama kedua-dua gabungan itu menyaksikan penyelarasan pembahagian kerusi, jentera kempen dan sokongan politik bagi menghadapi PH.
Malah, Presiden PAS, Tan Sri Abdul Hadi Awang sebelum ini turut membayangkan kerjasama BN-PN boleh diteruskan selepas PRN Melaka dan diperluaskan sehingga Pilihan Raya Umum Ke-16 (PRU16)
Pada 15 November lalu, Ahmad Fadhli sendiri menggesa BN dan PN segera duduk semeja merundingkan kerjasama politik, khususnya pembahagian kerusi serta strategi menghadapi PRU16. – MYNEWSHUB
Sumber Info; Akaun Media Sosial Fadhli Shaari


