Bumi seakan-akan tidak lagi mampu menyembunyikan deritanya yang semakin memilukan.
Ungkapan itu mungkin sesuai menggambarkan keadaan alam sekitar global yang kian terjejas akibat perubahan iklim dan aktiviti manusia tanpa kawalan.
Situasi ini turut melanda Malaysia apabila cuaca tidak menentu sejak kebelakangan ini yang menyaksikan bahang panas mencengkam dan hujan lebat sehingga mengakibatkan banjir besar silih berganti.
Perubahan ini bukan sahaja menguji ketahanan alam, malah mengganggu kehidupan harian masyarakat.
Justeru, sudah tiba masa dunia membuka mata seluasnya dan berganding bahu memperkukuh usaha menangani impak perubahan iklim.
Maka, ketika dunia semakin terdesak menangani cabaran iklim, masa depan tenaga hijau kini perlu diperkasanakan dan tidak lagi boleh bergantung kepada janji dan komitmen.

Sebaliknya, situasi itu memerlukan tindakan nyata yang benar-benar dirasai masyarakat.
Keperluan itulah yang menjadi fokus utama Persidangan Perubahan Iklim Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (COP31) yang berlangsung di Antalya, Turkiye dari 9 hingga 20 November 2026.
Persidangan berkenaan menghimpunkan pemimpin dunia, menteri, perunding, saintis dan wakil masyarakat sivil bagi membincangkan sektor hijau, termasuk pengurangan pelepasan gas rumah hijau, penyesuaian terhadap perubahan iklim serta pembiayaan iklim.
Antara negara peserta COP31 ialah Malaysia, Indonesia, Singapura, Thailand, Brunei, Filipina, Vietnam, Kemboja, Australia, China, India, Jepun, Brazil, Kanada dan negara Eropah.
Turkiye menjadi tuan rumah, manakala Australia mengetuai rundingan.
Bagi Malaysia, COP31 menjadi platform memperjuangkan kepentingan negara membangun dengan mengimbangi matlamat iklim global dan keutamaan pembangunan negara.
Dalam Kenyataan Negara di pentas antarabangsa itu, Menteri Sumber Asli dan Kelestarian Alam, Dato’ Sri Arthur Joseph Kurup menegaskan Malaysia menyeru COP31 memperkukuh multilateralisme dan memajukan tindak balas iklim global beraspirasi, seimbang serta berteraskan pelaksanaan.
Negara maju diseru meningkatkan bantuan geran kepada negara membangun yang mempunyai kepelbagaian biologi, bagi memperkukuh pemuliharaan hutan dan perlindungan biodiversiti.
Delegasi Malaysia yang diketuai Arthur turut mengetengahkan kesediaan bekerjasama secara konstruktif dengan semua pihak bagi memperkukuh multilateralisme dan memajukan tindak balas global terhadap perubahan iklim.
Malaysia turut mengalu-alukan penubuhan Platform Kerjasama Alam Sekitar dan Iklim D-8 bagi memudah cara dialog dasar, kerjasama teknikal, pertukaran maklumat dan penglibatan bersama, selain penerimaan pakai Rangka Kerja Tindakan Peringkat Menteri Antalya mengenai Kerjasama Iklim dan Alam Sekitar D-8.
“Semoga Antalya menjadi titik permulaan kepada pembaharuan komitmen untuk merapatkan jurang pelepasan, memperkukuh daya tahan iklim dan menterjemahkan aspirasi kolektif kita kepada kemajuan yang nyata demi generasi masa kini dan akan datang,” katanya menutup ucapan.
Sepanjang di acara itu, Malaysia turut menekankan kepentingan peralihan tenaga adil yang seiring pertumbuhan ekonomi, peluang pekerjaan dan tenaga mampu milik, khususnya bagi melindungi golongan berpendapatan rendah serta masyarakat luar bandar.
Malaysia melalui Kementerian Sumber Asli dan Kelestarian Alam (NRES) dan Perbadanan Teknologi Hijau dan Perubahan Iklim Malaysia (MGTC) menyediakan Pavilion Malaysia bertemakan ‘Climate Action Now: Driving Resilient Growth’.
Pelbagai inisiatif merangkumi 49 program dan membabitkan tujuh kluster utama diadakan dengan kerjasama rentas kementerian, kerajaan negeri serta rakan strategik.
Sementara itu, beberapa tokoh tenaga dan teknologi hijau Malaysia yang ditemu bual di COP31 melihat peralihan tenaga hijau sebagai peluang pertumbuhan ekonomi, selain menekankan keperluan mempercepat pelaksanaan daripada peringkat perancangan dan komitmen.
Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Tenaga Nasional Berhad (TNB), Dato’ Sri Ir Ts Shamsul Ahmad berkata, TNB sendiri sedang meneliti usaha mengintegrasikan lebih banyak tenaga boleh baharu dan hijau ke dalam sistem bekalan elektrik, selain meningkatkan fleksibiliti serta kebolehpercayaan grid melalui teknologi baharu.
“Dari sudut pelanggan, kami menyediakan penyelesaian lebih pintar supaya mereka dapat memanfaatkan potensi tenaga hijau.
“Kerana kami percaya kerjasama antara negara anggota ASEAN, membuka banyak peluang yang boleh dimanfaatkan,” katanya.
Ketua Pegawai Eksekutif ASEAN Centre for Energy (ACE), Dato’ Ir Ts Razib Dawood pula menyifatkan tenaga sangat penting sebagai nadi pertumbuhan ekonomi.
“Sesetengah kawasan ASEAN kaya dengan sumber tenaga boleh baharu, namun sesetengah mempunyai permintaan terhadap tenaga boleh baharu.
“Jadi, menerusi pembangunan sistem yang saling berhubung untuk menyalurkan tenaga, ia berfungsi seperti sistem penghantaran (untuk menyalurkan tenaga daripada sumber bekalan ke pusat permintaan),” katanya.
Ahli Lembaga Pengarah Perbadanan Teknologi Hijau dan Perubahan Iklim Malaysia (MGTC), Dato’ Leong Kin Mun berkata, COP31 menyaksikan banyak peluang baharu dalam peralihan tenaga untuk dimanfaatkan negara dan agensinya.
“(Sebagai agensi NRES), projek MGDC lebih berorientasikan industri untuk profesional muda serta perusahaan kecil dan sederhana (PKS) supaya mereka dapat memanfaatkan peluang peralihan tenaga
“Ekosistem ini sudah bersedia. Saya bangga kerajaan Malaysia memperkenalkan sistem latihan yang begitu baik dan kondusif untuk seluruh industri.
“Platform COP boleh menggalakkan lebih banyak perdagangan dan pelaburan, sekali gus menjadi peluang keemasan meningkatkan keterlihatan Malaysia di peringkat global,” katanya.




