KUALA LUMPUR – Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menyindir pembangkang yang beliau dakwa lebih menunjukkan simpati terhadap Taiwan ketika membangkitkan isu pendirian Malaysia berhubung China dan Taiwan.
“Nampak lebih banyak simpati kepada Taiwan pula dah. Saya pun kurang faham,” sindirnya ketika menjawab soalan tambahan di Dewan Rakyat.
Anwar berkata demikian selepas Ahli Parlimen Larut, Datuk Seri Hamzah Zainudin mempersoalkan kenyataannya dalam wawancara bersama Al-Jazeera yang didakwa memberi gambaran Malaysia menyokong tindakan ketenteraan China terhadap Taiwan.
Menurut Ahli Parlimen Larut, laporan media mengenai kenyataan itu menyebabkan Taipei memberikan reaksi keras, sekali gus menimbulkan persoalan mengapa Perdana Menteri perlu mengeluarkan kenyataan yang boleh mencetuskan ketegangan.
Bagaimanapun, Anwar menafikan pernah menyatakan persetujuan sekiranya China menyerang Taiwan.
“Apakah saya kata setuju, patut China menyerang Taiwan? Saya kata tak. Saya kata, we support One China policy. Yang kedua, kita kata, we believe there should be an amicable resolution through peaceful efforts,” katanya.
Beliau berkata, apabila ditanya mengenai kemungkinan China menyerang Taiwan, pendiriannya adalah Malaysia tidak mencampuri dasar domestik negara berkenaan.
Anwar turut mempertahankan hubungan diplomatik Malaysia dengan China yang telah terjalin sejak 1974, termasuk penggunaan istilah jawatankuasa dan bukannya rundingan antara negara dalam perkara berkaitan.
Beliau juga menolak tanggapan bahawa Malaysia tidak sepatutnya menyatakan pendirian tegas terhadap China semata-mata kerana bimbang menjejaskan hubungan kedua-dua negara.
Mengulas wawancara Al-Jazeera itu, Anwar mendakwa penemuramah cuba memprovokasinya supaya Malaysia dilihat bertentangan dengan China. – MYNEWSHUB


