KUALA LUMPUR – Bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Abdul Razak akan menjalani baki hukuman penjaranya secara tahanan rumah di Langgak Duta, berkuat kuasa serta-merta.
Memetik laporan media, keputusan itu dibuat Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur hari ini selepas membatalkan perintah pelepasan yang dikeluarkan pada Jumaat lalu dan menggantikannya dengan perintah baharu.
Hakim Datuk Aslam Zainuddin membuat keputusan berkenaan selepas mendengar permohonan Jabatan Peguam Negara (AGC) untuk menyemak semula perintah pelepasan bertarikh 6 November lalu.
“Perintah pelepasan yang dikeluarkan Jumaat lalu dibatalkan dan digantikan dengan yang baharu hari ini.
“Tertuduh perlu menjalani baki penjara yang dikurangkan secara tahanan di rumah, di Langgak Duta sehingga 23 Ogos 2028,” katanya seperti dilaporkan media.
Semakan itu dibuat bagi memastikan perintah pelepasan berkenaan selaras dengan Perintah Pengampunan Bersyarat yang diperkenankan Yang di-Pertuan Agong, Sultan Ibrahim pada 18 September lalu.
Terdahulu, pelaksanaan tahanan rumah terhadap Najib, 73, ditangguhkan sementara oleh AGC bagi membolehkan penelitian lanjut dibuat terhadap tafsiran perintah pengampunan berkenaan.
Pada 6 November lalu, Najib menjelaskan denda RM50 juta yang dikenakan terhadapnya dalam kes penyelewengan dana SRC International Sdn Bhd, sekali gus memenuhi antara syarat pengampunan bersyarat itu.
Sebelum ini, Sultan Ibrahim turut bertitah supaya pelaksanaan Perintah Pengampunan Bersyarat berkenaan dihormati selaras dengan kedudukan Raja Berperlembagaan dan prinsip kedaulatan undang-undang. – MYNEWSHUB


