KAJANG – Kenderaan yang membawa bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Abdul Razak dilaporkan keluar dari pekarangan Kompleks Penjara Kajang kira-kira pukul 2.40 petang tadi.
Memetik laporan media, peguamnya, Tan Sri Mohamed Shafee Abdullah memaklumkan bahawa anak guamnya itu akan hadir ke Mahkamah Kuala Lumpur.
Perkembangan itu berlaku ketika pasukan peguam Najib dijadual mengadakan pertemuan dengan hakim Mahkamah Tinggi petang ini berhubung perintah pelepasan yang dipertikaikan.
Pertemuan berkenaan berkaitan arahan supaya Najib menjalani baki hukuman penjara bagi kes SRC International Sdn Bhd menerusi tahanan rumah.
Menurut laporan itu, perkara berkenaan disenaraikan di hadapan Hakim Datuk Aslam Zainuddin pada pukul 2.30 petang di Mahkamah Tinggi Jenayah 5, Kuala Lumpur.
Terdahulu, Jabatan Peguam Negara (AGC) memfailkan permohonan di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur hari ini untuk menyemak semula perintah pelepasan yang dikeluarkan pada 6 November lalu.
Peguam Negara, Tan Sri Mohd Dusuki Mokhtar dilaporkan berkata, permohonan itu bertujuan mendapatkan perintah pelepasan baharu selaras dengan perkenan Yang di-Pertuan Agong, Sultan Ibrahim pada 18 September lalu.
Pada Jumaat lalu, Najib dilaporkan telah melunaskan denda RM50 juta sebagai syarat pengampunan bersyarat untuk menjalani baki hukuman penjaranya menerusi tahanan rumah.
Bagaimanapun, pelaksanaan tahanan rumah itu ditangguhkan sementara bagi mendapatkan penjelasan lanjut berhubung tafsiran perintah pengampunan berkenaan, menyebabkan Najib kekal ditempatkan di Penjara Kajang.- MYNEWSHUB


