KUALA LUMPUR – Jabatan Peguam Negara (AGC) memfailkan permohonan di Mahkamah Tinggi hari ini bagi mengkaji semula perintah pelepasan membabitkan bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Abdul Razak.
Memetik laporan media, Peguam Negara, Tan Sri Mohd Dusuki Mokhtar dilaporkan sebagai berkata, permohonan itu dibuat berdasarkan perintah yang dikeluarkan mahkamah pada 6 November lalu.
“Permohonan itu bertujuan mendapatkan satu perintah pelepasan baharu, selaras dengan perintah pengampunan bersyarat yang diperkenankan Yang di-Pertuan Agong pada 18 September lalu,” katanya.
Pada 6 November lalu, Najib dilaporkan telah melunaskan denda RM50 juta di Mahkamah Tinggi di sini bagi membolehkan baki hukuman penjaranya dijalani menerusi tahanan di rumah.
AGC bagaimanapun memaklumkan pelaksanaan tahanan di rumah itu ditangguhkan sementara bagi mendapatkan penjelasan lanjut berhubung tafsiran Perintah Pengampunan Bersyarat yang diperkenankan Yang di-Pertuan Agong.
Susulan itu, pada 7 November lalu, Yang di-Pertuan Agong, Sultan Ibrahim bertitah bahawa pelaksanaan perintah pengampunan bersyarat berkenaan hendaklah dihormati selaras dengan kedudukan Raja Berperlembagaan dan prinsip kedaulatan undang-undang.
Seri Paduka Baginda menegaskan perintah pengampunan bersyarat itu adalah jelas, nyata dan tidak mempunyai sebarang kekaburan serta tidak berkaitan dengan mana-mana kes lain terhadap Najib.
Baginda turut bertitah bahawa semua syarat dalam perintah pengampunan bersyarat itu telah dipenuhi dan sebarang hujah yang mempertikaikannya menjurus ke arah mengingkari perintah Yang di-Pertuan Agong.
Titah Baginda, tidak sepatutnya timbul kekeliruan tafsiran sehingga menyebabkan ketidakpastian berpanjangan terhadap pelaksanaan keputusan yang telah diperkenankan. – MYNEWSHUB


