KUALA LUMPUR – Bekas Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO yang kini bersama PAS, Isham Jalil berpandangan mahkamah yang sama boleh mengeluarkan perintah baharu atau Order to Discharge hari ini bagi membolehkan bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Abdul Razak menjalani tahanan di rumah.
Menurutnya, mahkamah hanya perlu meminda dan menambah ayat “melepaskan ia dari Penjara Kajang untuk memulakan tahanan di rumah” pada penghujung perintah berkenaan tanpa perlu hal itu dibicara di mahkamah bagi menentukan tafsiran tentang perintah yang mahkamah sendiri keluarkan.
“Supaya mana-mana puak-puak PH atau geng pendengki yang tidak faham bahasa kerana sama ada mereka tidak kompeten atau tidak pergi sekolah, kerap ponteng sekolah, selalu lewat datang sekolah atau IQ rendah atau kaki pusing atau sebagainya pun tidak boleh cakap berbelit-belit berkenaan perintah ini.
“Tambahan lagi perintah atau Order yang sebelum ini tersebut mengandungi bahasa rojak. Mungkin sebab itu yang order lain, yang sampai dalam kepala mereka lain. Walaupun sebenarnya Order yang asal itu adalah jelas waima dalam bahasa rojak,” katanya dalam satu hantaran di media sosial.
Isham berkata, mahkamah tidak perlu menuruti cadangan supaya arahan tersebut ditangguhkan sementara supaya hal itu dibicara di mahkamah bagi menentukan tafsiran tentang perintah yang mahkamah sendiri keluarkan kerana beliau sifatkan perkara itu sebagai tidak masuk akal.
“Jangan ikut ceplos. Ceplos-ceplos ini takda otak. Yang ada ijazah dan PhD pun bila jadi ceplos dan tambah perasaan hasad dengki terus mereka hilang otak,” katanya. – MYNEWSHUB
Sumber Info/Foto: Akaun Media Sosial Isham Jalil


