KUALA LUMPUR – Ruangan komen pada hantaran terbaharu Facebook Peguam Negara, Tan Sri Mohd Dusuki Mokhtar yang memaparkan ucapan Selamat Menyambut Hari Deepavali didapati tidak boleh diakses.
Hantaran yang dimuat naik semalam sempena sambutan Deepavali itu mengandungi ucapan ringkas beliau kepada masyarakat yang meraikan perayaan berkenaan.
“Selamat Menyambut Hari Deepavali kepada semua yang meraikannya. Semoga perayaan ini membawa kebahagiaan, kesejahteraan dan keharmonian kepada semua,” menurut hantaran tersebut.
Bagaimanapun, tinjauan pada hantaran berkenaan kira-kira pukul 1.30 petang hari ini mendapati ruangan komen pada hantaran berkenaan telah tiada untuk pengguna Facebook melihat atau memberikan sebarang maklum balas.
Perkembangan itu berlaku ketika Mohd Dusuki menjadi perhatian umum susulan kontroversi berhubung penangguhan pelaksanaan Perintah Pengampunan Bersyarat membabitkan bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak.
Sebelum ini, beberapa pihak termasuk UMNO dan PAS dilaporkan membuat laporan polis serta menggesa Peguam Negara memberikan penjelasan berhubung pengendalian isu berkenaan.
Bagaimanapun, tiada maklumat yang mengaitkan secara langsung keadaan ruangan komen Facebook itu dengan kontroversi berkenaan. – MYNEWSHUB
Sumber Info/Foto: Akaun Media Sosial Mohd Dusuki bin Mokhtar


