TELUK INTAN – Pejabat DAP Parlimen Teluk Intan menyalurkan peruntukan keseluruhan RM816,112 bagi membantu pelajar Sekolah Jenis Kebangsaan Tamil (SJKT), rumah ibadat dan persatuan Hindu sempena sambutan Deepavali tahun ini.
Ahli Parlimen Teluk Intan yang juga Naib Pengerusi DAP Kebangsaan, Nga Kor Ming berkata, bantuan berkenaan mencerminkan komitmen Kerajaan Madani dalam menjaga kebajikan masyarakat India, khususnya golongan berpendapatan rendah (B40).
Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatam itu menerusi hantaran di media sosial berkata, daripada jumlah tersebut, sebanyak RM449,600 diperuntukkan bagi bantuan pendidikan melibatkan 450 pelajar daripada 11 SJKT di kawasan Parlimen Teluk Intan.
Selain itu, RM153,492 disalurkan kepada Kuil Sri Vellai Vinayagar menerusi bantuan Rumah Ibadat Bukan Islam (RIBI)
Persatuan Penganut Dewi Sri Maha Mariamman Teluk Intan pula menerima peruntukan berjumlah RM213,020.
Kor Ming berkata, inisiatif bantuan yang dilaksanakan sejak 2023 itu bertujuan membantu pelajar mencapai kecemerlangan pendidikan, selain meringankan beban keluarga dalam membuat persiapan menyambut Deepavali.
Katanya, setiap pelajar menerima bantuan sebanyak RM1,000, manakala bantuan khas antara RM1,200 hingga RM2,000 turut disediakan kepada pelajar yang menduduki peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) dan Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM) – MYNEWSHUB
Sumber Info/Foto: Akaun Media Sosial Nga Kor Ming


