MELAKA – Pakatan Harapan (PH) meminta rakyat Melaka menolak pemikiran Asabiyyah (taksub perkauman) yang membutakan, sebaliknya memilih untuk berpegang kepada prinsip keadilan dan ihsan.
Naib Presiden Amanah, Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad berkata, Malaysia adalah tanah air bersama dan rakyat Melaka perlu menjadikan Pilihan Raya Negeri (PRN) kali ini ini sebagai medan untuk kita memilih kepimpinan yang berintegriti dan beramanah.
“Pendekatan Kerajaan Madani sentiasa jelas; kita kekal utuh mempertahankan kedudukan Islam dan hak keistimewaan Melayu sepertimana termaktub dalam Perlembagaan, namun pada masa yang sama, kita berlaku adil merangkul hak semua kaum,” katanya dalam hantaran di media sosial.
Terdahulu, Dzulkefly menegaskan bahawa memartabatkan syiar Islam dan membela maruah bangsa bukan hak milik eksklusif mana-mana pihak.
“Kita sama sekali tidak perlu membenci kaum atau agama lain semata-mata untuk menjadi seorang Melayu yang bermaruah dan Muslim yang taat,” katanya.
Dalam hantaran berasingan, beliau berkata, apabila isu kaum dan agama dijadikan alat senjata politik, negara sebenarnya sedang diheret ke arah kehancuran.
“Musuh keharmonian kita bukanlah kaum lain, tetapi golongan ‘ultras’ dari kalangan kita sendiri yang saban hari hidup meniupkan sentimen kebencian.
“Sekiranya kita terus membiarkan fikiran bangsa diracuni, jangan terkejut andai kelak negara ini rosak oleh tangan bangsa kita sendiri,” katanya. – MYNEWSHUB
Sumber Info/Foto: Akaun Media Sosial Dr Dzulkefly Ahmad


