KUALA LUMPUR – Timbalan Pengerusi Parti Keadilan Rakyat (PKR) Perak, Tan Kar Hing menggesa kerajaan mempercepatkan penggubalan dan pembentangan Akta Pendanaan Politik bagi memastikan sumbangan politik tidak digunakan untuk membayar denda mahkamah atau liabiliti peribadi ahli politik.
Beliau berkata, penubuhan Tabung Solidariti Najib Razak oleh UMNO bagi mengumpul RM50 juta untuk membayar denda bekas Perdana Menteri itu sekali lagi memperlihatkan kelemahan kerangka kawal selia pendanaan politik negara.
Menurutnya, tindakan tersebut menimbulkan persoalan sama ada parti politik wajar dibenarkan mengutip derma awam bagi menanggung liabiliti individu yang disabitkan kesalahan jenayah.
“Saya berpendirian bahawa tanggungjawab jenayah individu mesti dipikul oleh individu itu sendiri.
“Sumbangan politik bertujuan menyokong aktiviti politik dan fungsi sesebuah parti, bukannya menjadi saluran untuk seseorang ahli politik menggerakkan dana awam bagi melunaskan liabiliti peribadinya apabila berdepan dengan hukuman mahkamah,” katanya menerusi hantaran di media sosial.
Kar Hing menegaskan, Akta Pendanaan Politik perlu menetapkan penggunaan dana hanya untuk pentadbiran parti, pilihan raya, penyelidikan dasar, pendidikan politik, khidmat masyarakat dan aktiviti kebajikan.
Katanya, undang-undang itu juga perlu melarang penggunaan sumbangan politik secara langsung atau tidak langsung bagi membayar hutang peribadi, denda jenayah atau liabiliti kewangan individu akibat keputusan mahkamah.
Beliau turut mencadangkan pendedahan identiti penyumbang, had sumbangan tanpa identiti, pengesahan sumber dana serta laporan perbelanjaan parti secara berkala diwajibkan.
Selain itu, penggunaan yayasan, organisasi berkaitan atau pihak perantara bagi mengelakkan sekatan pendanaan politik juga perlu dihalang.
Bagaimanapun, beliau mengakui kutipan Tabung Solidariti Najib Razak bagi membayar denda kes SRC International belum tentu menyalahi undang-undang sedia ada.
“Walaupun tindakan tersebut belum tentu menyalahi undang-undang sedia ada, hal ini tidak bermakna sistem semasa sudah mencukupi,” katanya.
Sehubungan itu, beliau mendesak kerajaan segera membentangkan akta berkenaan di Parlimen bagi memperincikan sumber sumbangan, pengesanan aliran dana dan peraturan penggunaannya. – MYNEWSHUB
Sumber Info/Foto: Akaun Media Sosial Tan Kar Hing


