MELAKA – Timbalan Pengerusi Pakatan Harapan (PH), Datuk Seri Mohamad Sabu mempersoalkan dakwaan bahawa sokongan terhadap gabungan itu masih menurun, sedangkan program anjuran PH di Melaka mendapat sambutan meriah daripada masyarakat.
Beliau merujuk suasana Program Malam Harapan yang berlangsung di Sekolah Tinggi Pay Fong, yang menurutnya dihadiri ramai penyokong menjelang Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka.
“Betul ke sokongan terhadap Pakatan Harapan (PH) masih menurun?
“Kalau lihat suasana dan sambutan Program Malam Harapan di Sekolah Tinggi Pay Fong, meriah sungguh,” katanya menerusi hantaran di media sosial.
Mohamad yang mesra dikenali sebagai Mat Sabu berkata, kehadiran orang ramai memberikan sokongan kepada calon-calon PH memperlihatkan suasana positif dan penuh kemesraan.
Menurutnya, beliau turut gembira dapat bersama tetamu daripada pelbagai kaum dan lapisan masyarakat yang hadir memeriahkan program berkenaan.
Program itu turut dihadiri Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.
“Ramai yang hadir memberikan sokongan kepada calon-calon PH dalam PRN Melaka kali ni. Suasana yang cukup positif dan penuh kemesraan.
“Bang Mat seronok dapat bersama-sama para tetamu daripada pelbagai kaum dan lapisan masyarakat,” katanya.
Beliau turut merakamkan penghargaan kepada semua yang hadir serta berharap sambutan meriah terhadap program berkenaan dapat diterjemahkan kepada sokongan di peti undi.
“Terima kasih kepada semua yang sudi hadir dan memeriahkan malam tersebut. Semoga suasana ini diterjemah dalam kertas undi pada 14 November ini,” katanya.
PRN Melaka dijadualkan berlangsung pada 14 November ini, manakala pengundian awal ditetapkan pada 10 November. – MYNEWSHUB
Sumber Info/Foto: Akaun Media Sosial Mohamad Sabu


