KUALA LUMPUR – Setiausaha Pemuda UMNO, Hafiz Ariffin mempersoalkan tindakan Jabatan Peguam Negara (AGC) menangguhkan pelaksanaan tahanan rumah Datuk Seri Najib Razak, tidak lama selepas Menteri Pengangkutan, Anthony Loke Siew Fook mengulangi janjinya untuk meletakkan jawatan.
“Patutlah Anthony Loke ni, nampak confident dia buat PC. Kalau kita tengok susun atur, macam ada perancangan dah. Elok je sekuens dia, teratur kan?
“Nak buat macam mana? Dan mereka memang tengah berkuasa pun sekarang ini. Macam-macam benda luar jangka ni boleh jadi,” katanya menerusi satu rakaman video yang dimuat naik di media sosial.
Hafiz merujuk sidang media Anthony Loke semalam yang mengulangi janji untuk meletakkan jawatan serta-merta sebaik sahaja Najib pulang ke rumah.
Menurutnya, pada petang sama selepas denda RM50 juta dijelaskan, AGC mengeluarkan kenyataan menangguhkan pelaksanaan tahanan rumah bekas Perdana Menteri itu.
“Ingatkan dah selesai, denda dah bayar, mahkamah dah keluarkan perintah, Datuk Seri Najib pun dah keluar Kajang. Rupanya kat saat-saat akhir, macam main Uno.
“Dia pakai kad Uno reverse kali ni. Tak sangka betul. Sampai tahap macam ni tindakan yang diambil,” katanya.
Hafiz turut mempersoalkan mengapa isu tafsiran perintah pengampunan hanya dibangkitkan selepas pembayaran denda dibuat dan Mahkamah Tinggi mengeluarkan perintah pelepasan.
Katanya, Lembaga Pengampunan telah bersidang pada 18 September lalu dan sepanjang tujuh minggu berikutnya, isu berkenaan tidak dibangkitkan.
“AG (Peguam Negara) pun ahli lembaga tu. Lepas tu AG sendiri cakap yang tinggal ni cuma bayar denda dekat mahkamah. Kenapa persoalan tafsiran ni tak dibangkitkan waktu tu?
“Kenapa lepas dah duit dibayar, lepas perintah mahkamah keluar, baru timbul benda-benda ni?Mahkamah Tinggi dah keluarkan dah pun Order of Discharge.
“Kalau ada keraguan, bawalah ke mahkamah. Bukan gantung perintah mahkamah melalui kenyataan media,” tegasnya.
Beliau turut menyifatkan tindakan menyekat pelaksanaan perintah pada saat akhir atas alasan teknikal sebagai sesuatu yang menimbulkan persoalan terhadap penghormatan kepada kedaulatan undang-undang dan institusi Yang di-Pertuan Agong.
“Dulu kita tengok berkenaan titah adendum. Dah juga macam tu. Yang ni pula keputusan Lembaga Pengampunan yang sah pun, di saat-saat akhir ada tindakan macam ni. Dah dua YDPA (Agong)
“Jadi kita nilailah ya, adakah ini reformasi yang dilaungkan sangat tu dan ini orang yang cukup menghormati rule of law? Sama-sama kita fikirkan,” katanya. – MYNEWSHUB
Sumber Info/Rakaman Video: Akaun Media Sosial Hafiz Ariffin


